BENTONG: Dua lelaki termasuk seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 275.1 kilogram (kg), awal bulan ini.
Tertuduh, Mohamed Ismail, 68, dan Muhammad Amir Ikram Mohd. Dzulkiflee, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 275.1 kg di tepi jalan Kampung Sungai Mun, Lipis kira-kira pukul 12.30 tengah Hari, 6 Februari lalu.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dihukum mati jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala Muhammad Amir Ikram diwakili peguam, Hafizatul Shahirah Jamari dari K. L Chee and Co. Tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mei depan bagi serahan dokumen dan laporan kimia.
Pada 10 Februari lepas, media melaporkan polis menahan dua individu dan merampas dadah jenis syabu seberat 275.1 kilogram bernilai lebih RM8 juta susulan kejadian langgar lari di Kampung Pagar Sasak, Lipis, pada 6 Februari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, kemalangan pada 12 tengah hari itu berlaku apabila Toyota Wish putih yang dipandu suspek pertama berusia 67 tahun berlanggar dengan sebuah motosikal dinaiki dua remaja berusia 16 tahun yang mengalami kecederaan parah.
Katanya, ekoran kemalangan itu, orang awam bertindak mengejar kereta tersebut sehingga ke Kampung Sungai Mun, Lipis dan segera menghubungi polis. Susulan itu, polis bertindak pergi ke lokasi dan menahan lelaki terbabit. – UTUSAN