PETALING JAYA: Dua saksi pendakwaan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa tiada sebarang jejak dapat dikesan oleh anjing mereka sepanjang dua hari pencarian orang hilang berlangsung di Apartment Idaman, Damansara Damai bermula malam, 5 Disember 2023.
Saksi ke-20, Lans Koperal Aznizam Anak Bah Jada, 29, berkata, setiba di lokasi, beliau meminta pakaian orang hilang tersebut untuk dihidu oleh anjingnya bagi pencarian.
Katanya bagaimanapun, pencarian pada hari kedua bersama anjing kendaliannya tidak menunjukkan sebarang hasil walaupun cuaca dalam keadaan baik.
Tambahnya, pencarian yang dimulakan pada sekitar pukul 11 pagi itu berterusan selama lebih satu jam sebelum ditamatkan selepas memaklumkan kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Nor Zaharuddin Sanip.
“Saya minta pakaian budak tersebut yang pernah dipakai dan tidak dicuci. Saya tidak ingat baju apa kerana saya hanya ambil dan bagi K9 hidu untuk lakukan penugasan.
“Saya merentasi ke sebelah kawasan perumahan dan tiada apa-apa indikasi diberikan anjing saya, kosong. Kemudian, saya bawa ke sekitar perumahan dan buat pencarian.
“Selepas itu, kami maklum dekat ASP yang anjing kami tidak beri indikasi semasa pencarian jadi beliau minta kami ‘standby’. Selang beberapa minit beliau suruh kami kembali ke pangkalan,” katanya.
Sementara itu, Aznizam juga memaklumkan punca utama anjing tidak dapat mengesan adalah kerana kawasan kejadian telah tercemar sejak hari pertama.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-19, Lans Koperal Affendy Anak Henry berkata, pencarian bersama anjingnya bermula dari tepi belukar, belakang Blok R apartment tersebut sehingga ke anak sungai.
Beliau yang tiba di tempat kejadian pada 11.30 malam 5 Disember itu, berkata, namun, operasi menjadi sukar kerana hujan mula turun selepas 20 minit pencarian dimulakan.
“Pada ketika itu saya tidak meneruskan pencarian kerana kawasan gelap dan hujan.
“Pada jam lebih kurang 1.30 pagi pada ketika itu, hujan lebat. Saya telah menamatkan pencarian,” katanya.
Affendy yang ditugaskan untuk kedua-dua hari juga memberitahu tempat kejadian telah dicemari kesan tapak kaki yang menyukarkan anjing K9 untuk mencari mangsa yang hilang.
“Pada hari pertama, kawasan tersebut agak bersemak dengan rumput tinggi. Pada hari kedua, saya sampai tempat tersebut dan melihat rumput telah ‘tumbang’ dan ada laluan,” katanya.
Bagaimanapun, semasa tiba di lokasi pada malam hari kedua, unitnya dimaklumkan dengan berita penemuan Allahyarham Zay Rayyan.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN