Dua beranak maut: Suami sempat tunai keinginan isteri mahu makan roti canai - Utusan Malaysia

Dua beranak maut: Suami sempat tunai keinginan isteri mahu makan roti canai

TUN Mohd. Khairul Tun Ariffin (tengah) kelihatan sugul di pekarangan Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu. - UTUSAN / NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Wanita yang maut kemalangan bersama anak sulungnya di Kampung Kepah, di sini, kira-kira pukul 11.55 pagi ini begitu teringin menikmati sarapan roti canai.

Dalam kejadian di Kilometer 13 Jalan Gaung – Kuala Ping-Teris itu, Nursaidatul Aishah Zakari, 36,, bersama Wan Nur Izara Aina Tun Mohd. Khairul,12, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Seorang lagi anaknya, Nursaidatul Aishah iaitu Tun Nur Ufaira Afifa Tun Mohd Khairul,9, cedera parah dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Suami mangsa, Tun Mohd. Khairul Tun Arifin, 39,  berkata, dia sempat membeli juadah tersebut dan menghantarnya pulang sebelum ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan Tengkawang sebagai tukang kebun.

Menurutnya, dia tidak menyangka kepulangannya beberapa minit itu bagi menunaikan hasrat isterinya menjadi pertemuan terakhir antara mereka dan anak perempuanya itu.

“Semasa di kedai kopi untuk sarapan, saya baru baca pesanan WhatsApp dikirim isteri kira-kira pukul 12 tengah malam tadi yang beritahu ingin makan roti canai. Ketika itu saya sudah tidur.

“Pagi tadi sebelum keluar rumah, isteri tidak beritahu apa-apa sehinggalah saya tahu keinginannya selepas baca mesej WhatsApp. Saya juga sempat bergurau dengan anak-anak seperti biasa.

“Lebih kurang pukul 11 pagi, isteri ada mesej menerusi aplikasi WhatsApp bertanya tentang duit beli ayam untuk lauk makan tengah hari. Saya balas, suruh dia ambil bawah kusyen motosikal tetapi tidak jumpanya kerana sedang buat kerja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu.

Kata bapa dua anak itu, dia terkejut apabila tiba-tiba ada kawannya memberitahu isteri dan anak-anaknya  terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Tengkawang selepas selesai membeli barang di kedai.

Katanya, dia segera ke tempat kejadian dengan membonceng bersama rakannya dan tidak pasti sama ada isteri serta anak-anaknya ada ke sekolah tempatnya bekerja atau tidak sebelum kemalangan.

Ujar Tun Mohd. Khairul, walaupun kehilangan dua insan tercinta serentak namun dia reda dengan ketentuan takdir dan berharap serta berdoa agar anak bongsunya yang sedang dirawat di hospital dapat diselamatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya