SEPANG: Polis meminta bantuan orang awam bagi mengesan dua beranak yang dilaporkan hilang dari rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu sejak Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan G Shan Gopal berkata, wanita berusia 45 tahun bersama anak lelakinya berusia lapan tahun itu gagal dikesan sejak Isnin lalu.
Beliau berkata, sebelum itu, kedua-dua mangsa dikatakan telah keluar dari rumah mereka pada pertengahan Disember tahun lalu untuk bertemu rakan di Damansara.
“Sebelum itu, mangsa dapat dihubungi oleh ahli keluarga lain namun, sejak 17 Februari lalu gagal dihubungi.
“Susulan itu, satu laporan polis dibuat anak sulung mangsa berusia 20 tahun yang memaklumkan ibu dan adiknya gagal dihubungi sejak Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, anak sulung mangsa dan ahli keluarga lain telah cuba mencari dan menghubungi mangsa namun, tidak berjaya.
Shan Gopal berkata, pihaknya kini giat mengesan kedua-dua mangsa dan kea diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspector Ahmad Razimi Mohd Taib di talian 019-9885457 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di talian 03-87774222,” katanya. – UTUSAN