Dua beradik parah dirempuh lori dalam perjalanan ke sekolah

Dua beradik parah dirempuh lori dalam perjalanan ke sekolah

DUA beradik parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori tanah di Jalan Besar Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Dua beradik parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Besar Sungai Bakap di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke sekolah dengan dihantar oleh seorang wanita dipercayai nenek mereka yang berusia 50-an.

Difahamkan, si adik yang berusia kira-kira lima tahun itu putus kaki kanan manakala abangnya yang berusia tujuh tahun dan lengkap memakai pakaian seragam sekolah pula putus tangan kiri.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori terbabit mahu keluar dari susur sebelah kiri jalan sebelum terlanggar motosikal tersebut yang kebetulan berada di hadapan sebelah kanan kenderaan berkenaan.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Seberang Perai Selatan (SPS), pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira 7.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Sebaik sahaja tiba di sana, didapati, kemalangan itu melibatkan sebuah lori tanah dan motosikal. Kedua-dua kanak-kanak terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut ekoran kecederaan parah dengan bantuan ambulans,” katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan rakaman video mengenai kejadian itu di media sosial khususnya menerusi laman Telegram dan Facebook sehingga mengundang simpati daripada warganet.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPS, Superintenden Chong Boo Khim memohon kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu agar tampil ke depan bagi membantu siasatan.

“Mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Rizal Abdul Rani di talian 013-9396252,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya