GEORGE TOWN : Polis telah merekodkan keterangan daripada pemandu lori yang terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah motosikal hingga menyebabkan dua kanak-kanak cedera parah di Jalan Besar, Sungai Bakap, Nibong Tebal kelmarin.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin kepada pemberita, hari ini.
Menurut Mohd. Alwi, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita juga sudah melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu berusia 42 tahun itu. Bagaimanapun, dia didapati bebas daripada sebarang pengaruh dadah ketika kejadian,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Alwi hadir pada Majlis Pelancaran Kod QR Kesedaran Scam (Mini-App / Infographics) di Penang Golf Club Bukit Jambul di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata, ketika ini juga, ketiga-tiga mangsa khususnya dua kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan itu berada dalam keadaan stabil.
“Dalam hal ini, kita meminta jasa baik semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara lebih telus dan menyeluruh dalam kes ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke sekolah dengan dihantar oleh seorang wanita dipercayai nenek mereka yang berusia 50-an.
Difahamkan, si adik yang berusia kira-kira lima tahun itu putus kaki kanan manakala abangnya yang berusia tujuh tahun dan lengkap memakai pakaian seragam sekolah pula putus tangan kiri akibat kemalangan berkenaan.
Susulan kemalangan itu juga, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Chong Boo Khim memohon kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan agar tampil ke depan bagi membantu siasatan.-UTUSAN