KUALA LUMPUR: Ahli keluarga seorang mangsa sindiket pekerjaan merayu kepada Kerajaan Thailand untuk menyelamatkan adik lelakinya yang dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Myanmar sejak November lalu.
Wanita yang dikenali sebagai Noraini, 38, berkata, adik lelakinya yang terperangkap di sebuah daerah di Myanmar selepas terpedaya dengan tawaran sindiket pekerjaan kini menderita kerana diseksa selain dipaksa menipu orang.
“Adik ditawarkan bekerja bahagian teknikal di Thailand melalui rakannya dan dia berlepas ke sana melalui jalan darat pada 13 November lalu.
“Bagaimanapun, dia gagal dihubungi sebelum kami dimaklumkan dia dipaksa bekerja sebagai scammer oleh sindiket.
“Jika gagal mendapat pelanggan, dia dikurung dan diseksa di sebuah bilik malah dipaksa makan babi,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Kedutaan Thailand di Jalan Ampang di sini hari ini.
Katanya, adiknya baru-baru memaklumkan berjaya mendapat seorang pelanggan dan dijanjikan bayaran gaji kira-kira AS$3,000.
“Bagaimanapun, sehingga kini dia tidak dibayar apa-apa. Dia merayu minta diselamatkan agar dapat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya mewakili 30 ahli keluarga mangsa sindiket penipuan yang kini masih terperangkap di Myanmar ingin menggesa pihak Thailand bagi menyelamatkan rakyat Malaysia di sana.
Katanya, kerajaan Thailand perlu tahu bahawa negara mereka dijadikan tempat transit sindiket perdagangan manusia di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia.
“Tiada orang masuk ke Myanmar tanpa melalui Thailand maka mereka (Thailand) perlu lakukan sesuatu bagi menyelamatkan mangsa-mangsa rakyat Malaysia.
“Kita juga ada menyerahkan senarai nama, maklumat peribadi, laporan polis dan lokasi membabitkan rakyat Malaysia yang terperangkap di Myanmar.
“Walaupun baru-baru ini kita mendapat maklumat bekalan elektrik pusat sindiket elektrik telah terputus namun kita gesa kerajaan Thailand perlu membuat sesuatu agar rakyat Malaysia dapat diselamatkan,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini seramai 300 mangsa berjaya diselamatkan manakala kira-kira 150 rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai scammer. – UTUSAN