KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat bertukar tegang petang ini apabila isu garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis perayaan bukan Islam dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
Yu Hui yang merupakan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menyambut baik keputusan Kabinet yang menarik balik cadangan menetapkan garis panduan berkenaan dan menyifatkan ia bertentangan dengan semangat perpaduan negara.
“Cadangan menetapkan garis panduan ini hanya akan memperdalam jurang antara kaum dan agama. Malaysia adalah sebuah negara majmuk di mana rakyat sudah sekian lama mengamalkan sikap saling menghormati dan bertoleransi antara agama,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, perbahasan itu dikejutkan dengan permintaan laluan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian yang awalnya ditolak oleh Yu Hui sebelum akhirnya diberi peluang bersuara.
Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa garis panduan berkenaan hanya terpakai kepada umat Islam dan bertujuan mengelak daripada melanggar batas akidah dalam perkara berkaitan keagamaan.
“Garis panduan ini bukan dikeluarkan oleh parti politik, malah sudah lama ditetapkan. Kehadiran dalam upacara keagamaan tidak dibenarkan, tetapi selain daripada itu tiada masalah,” tegasnya.
Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudian mencelah dengan menegaskan bahawa orang bukan Islam di Malaysia tidak pernah meminta umat Islam membabitkan diri dalam sebarang upacara keagamaan mereka.
“Orang bukan Islam tahu batas masing-masing dan tidak pernah membabitkan umat Islam dalam hal keagamaan. Ini tidak sepatutnya jadi isu. Cadangan meminta kebenaran sebelum hadir hanya akan merumitkan keadaan,” katanya. – UTUSAN