KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sekali lagi ‘memanaskan’ sidang Dewan Rakyat apabila seorang Ahli Parlimennya terus membangkitkan isu Titah Adendum walaupun sudah dilarang Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap Peguam Negara kerana didakwa menyembunyikan Titah Adendum berkaitan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata beliau, tindakan menyembunyikan Titah Adendum itu sudah mengganggu dan menggugat reputasi kerajaan Persekutuan mengenai tatakelola serta ketulusan.
“Tatakelola dan ketelusan cakap di merata-rata tetapi pelaksanaannya di mana? Cakap tidak serupa bikin, itulah yang digemparkan oleh masyarakat hari ini (bahawa) kerajaan ‘ketimbang’ kencing, tipu (dan) sembang,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.
Tindakan Rosol itu menyebabkan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) menggesa pemimpin PN itu berhenti mengelirukan Dewan Rakyat.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah menjelaskan, jadi tidak boleh kata menyorok (Titah Adendum). Jangan buat kenyataan yang (boleh) mengelirukan dewan.
“Mana ada penyorokan kalau tidak ada pengetahuan,” katanya.
Malah, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut mencabar Rosol untuk menyebut satu nama yang didakwa menyorok Titah Adendum.
“Boleh ke Hulu Terengganu menyatakan dengan jelas di dewan yang mulia ini, siapakah yang dimaksudkan menyembunyikan Titah Adendum ini.
“Apakah pendirian pembangkang tentang pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun, pertengkaran itu dihentikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau.
“Semalam speaker sudah kata tidak perlu bangkitkan isu ini lagi,” kata beliau.