KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat selepas beberapa cadangan penambahbaikan dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa, lima bengkel pembangunan dan penetapan sudah dilaksanakan bagi meneliti semula Akta 711.
Kata beliau, dalam tempoh sama juga sebanyak enam sesi libat urus turut diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan utama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Terdapat keperluan untuk menambah baik Akta 711 ini berdasarkan amalan terbaik dari negara lain termasuk daripada aspek pemakaian undang-undang berkaitan perkara sulit dan rahsia, mekanisme pembatalan perlindungan yang diberikan serta perlindungan kepada agensi penguatkuasaan yang terpaksa mendedahkan identiti pemberi maklumat.
“Sepanjang usaha penambahbaikan untuk memperkukuhkan fungsi Akta 711 ini, pelbagai maklum balas penting sudah diterima daripada agensi-agensi kerajaan dan NGO. Beberapa cadangan dasar sedang dipertimbangkan untuk diangkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata, beberapa cadangan dasar sedang dipertimbangkan untuk diangkat bagi pertimbangan Jemaah Menteri dan beliau berharap ia boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang memintanya menyatakan status terkini pindaan Akta 711 dan garis masa untuk ia dibentangkan di Parlimen.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, terdapat enam cadangan pindaan kepada Akta 711 iaitu antaranya pengubahsuaian klausa di bawah Seksyen 6 bagi mengelakkan percanggahan dengan akta-akta lain dan menggalakkan pendedahan kelakuan tidak wajar tanpa sekatan undang-undang.
Selain itu, katanya, penambahbaikan Seksyen 11 Akta 711 bagi memperuntukkan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat dimana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan suci hati dan tidak melibatkan kepentingan peribadi.
“Ketiga, pemurnian percanggahan pemakaian Seksyen 8 dan Seksyen 14 Akta 711 melalui pengenalan peruntukan baharu bagi memastikan agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan efektif dan efisien tanpa melanggar peruntukan sedia ada di bawah Akta 711.
“Keempat, pengenalan skala ganjaran standard bersesuaian untuk memudahkan proses pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat,” katanya.
Beliau berkata, cadangan kelima pula melibatkan perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).
“Keenam, cadangan penubuhan pasukan petugas sebagai usaha peralihan kepada penubuhan Agensi Berpusat yang melibatkan fungsi penyelarasan dan pemantapan aspek tadbir urus bagi pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat,” katanya. – UTUSAN