Deretan lori diiringi ‘tonto’ tunggu SJR tamat

Deretan lori diiringi ‘tonto’ tunggu SJR tamat

ANGGOTA JPJ memeriksa dokumen pemandu kenderaan berat pada Op Khas Gempur Teknikal Siri 1/2025 di SPK Gombak, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Beberapa buah kenderaan berat didapati menunggu sejauh empat kilometer (km) dari lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga operasi tersebut selesai.

Lori-lori itu dikesan berhenti dalam tempoh masa yang lama dan diparkir di bahu jalan berdekatan sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini, selepas menyedari operasi dilakukan JPJ, hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa kenderaan pacuan empat roda bercermin gelap disyaki tonto juga berada berhampiran lori terbabit.

Dipercayai kenderaan berat itu mahu mengelak daripada pemeriksaan pihak berkuasa kerana kesalahan lebih muatan.

Difahamkan, jarak dari stesen minyak itu ke Stesen Penguat Kuasa (SPK) Gombak, sejauh kira-kira empat km.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, ia merupakan taktik biasa segelintir pemandu lori yang memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan bagi mengelak pemeriksaan.

“Mereka akan menunggu sehingga operasi tamat sebelum meneruskan perjalanan, namun JPJ tetap mengambil tindakan dengan mengarahkan lori-lori ini bergerak bagi memastikan ia tidak menghalang lalu lintas,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Gempur Teknikal Siri 1/2025 JPJ Kuala Lumpur.

Selain itu, operasi yang dilaksanakan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut mengesan pelbagai kesalahan teknikal membabitkan kenderaan perdagangan.

Antaranya adalah penggunaan tayar celup serta kenderaan yang dipandu warga asing.

Tambah Hamidi, pihaknya menyita lima lori termasuk jenis roll on roll off (RORO) dan memeriksa sebanyak 315 kenderaan barangan serta perkhidmatan awam, dengan 41 daripadanya dikenakan tindakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 119 kesalahan dikesan dengan kesalahan muatan berlebihan paling tinggi direkodkan iaitu 56 kes.

“Selain itu, kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 12 kes, tiada lesen vokasional (10), kesalahan teknikal (6) dan lain-lain kesalahan turut direkodkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN