PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk mengambil pendekatan lebih tegas dalam memastikan keselamatan ruang udara negara terjamin, dengan mengenakan hukuman denda tinggi dan menyita peralatan dron bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes, berkata langkah yang diambil oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mewajibkan pengendali dron mendapatkan permit sebelum menerbangkan peralatan berkenaan adalah satu keputusan yang tepat.
Katanya, langkah itu selaras keperluan kawal selia bagi mencegah penyalahgunaan teknologi dron yang boleh mengancam keselamatan negara, termasuk aktiviti pengintipan, penyeludupan dan pencerobohan ke kawasan larangan.
“Peraturan ini bukan sekadar langkah kawal selia tetapi keperluan kritikal dalam menangani risiko penyalahgunaan teknologi dron untuk tujuan tidak bertanggungjawab, malah kerajaan perlu mengambil pendekatan tegas seperti negara lain dengan mengenakan hukuman denda tinggi dan penyitaan peralatan bagi mengelak sebarang penyalahgunaan.
“Tanpa penguatkuasaan tegas, pelanggaran keselamatan boleh membawa kepada dasar lebih ketat yang mungkin menjejaskan perkembangan industri dron tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, CAAM mengumumkan bahawa semua pengendali dron, sama ada untuk operasi berisiko rendah atau tinggi, serta aktiviti komersial atau rekreasi, kini diwajibkan untuk mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum menerbangkan dron.
Keperluan permit tersebut turut melibatkan dron atau pesawat tanpa pemandu yang dilengkapi dengan kamera serta terbang pada paras ketinggian bawah 122 meter, sementara itu, badan penerbangan antarabangsa melaporkan sehingga kini ada lebih 2,500 insiden membabitkan dron hampir melanggar pesawat.
Sri Ganes berkata, negara mempunyai program latihan dan pensijilan ketat untuk pengendali dron, seperti dilaksanakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (Bahagian 107) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), yang berjaya mengurangkan kadar kemalangan dan pelanggaran undang-undang melibatkan dron.
Tegasnya, jika Malaysia gagal menguatkuasakan latihan dan pensijilan yang ketat, negara berisiko kehilangan peluang dalam industri dron serantau dan mungkin ketinggalan berbanding negara jiran yang memiliki peraturan yang lebih ketat dan lebih selamat.
Beliau turut menjelaskan industri dron global dijangka berkembang kepada AS$54 bilion (RM240 bilion) menjelang 2030 dengan Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi peneraju dalam sektor tersebut.
“Penguatkuasaan ketat terhadap permit dan pensijilan bukanlah halangan kemajuan, sebaliknya ia adalah asas penting dalam membentuk industri dron yang selamat, profesional, dan inovatif,” katanya. – UTUSAN