BACHOK: Usaha seorang warga emas untuk menyelamatkan dua cucunya yang hampir lemas berakhir tragedi apabila dia menjadi mangsa dalam kejadian di Pantai Bachok, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) sempat menarik Rosli Yusof, 63, yang dipercayai ditarik oleh ombak pantai tersebut.
Difahamkan, mangsa bersama seorang anak perempuan berusia 30-an dan dua cucu berusia tujuh dan lapan tahun datang untuk mandi di Pantai Irama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohd. Azrie Sulaiman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan pengesahan dibuat oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok.
Katanya, anak perempuan mangsa dan dua cucunya mendapat rawatan susulan di Hospital Bachok di sini.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kedua cucunya ditarik ombak ke kawasan lebih dalam sebelum warga emas itu cuba menyelamatkan mereka,” katanya. -UTUSAN