‘Datang set untuk kerja, bukan mencari cinta’

‘Datang set untuk kerja, bukan mencari cinta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mempunyai personaliti diri yang menyenangkan ramai, apatah lagi dengan gelagatnya yang gemar berjenaka, Sharifah Sakinah, harus dipuji kerana menjaga tata tertibnya sebagai seorang pelakon setiap kali masuk ke set penggambaran.

Berpegang kepada prinsip kerja harus serius, dia yang mesra disapa sebagai Sakinah malah mengakui, disebabkan itu dia tidak pernah terjebak dengan kisah cinta lokasi sebagaimana mungkin terjadi pada mana-mana pelakon lain.

Bukan mahu meninggi diri, tetapi perkara itu ternyata cukup dijaga olehnya berikutan enggan hanyut dengan perkara yang tidak penting atau bersifat peribadi berbanding menyelesaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

“Saya bukan jenis pelakon yang mudah terjebak dengan cinta lokasi. Pernah dengarkah saya begitu? Saya yakin katakan ini sebab saya memang bukan jenis mudah jatuh cinta di lokasi penggambaran.

“Malah, kalau nak cari cinta pun, bukan di set, saya lebih suka dengan lelaki yang bekerja dalam bidang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Pelancaran Unifi TV Originals Ramadan Raya 2025 di sini, baru-baru ini.

Jelas pelakon berusia 36 tahun ini, setiap kali memasuki set penggambaran, seseorang pelakon itu harus tahu apa niat yang dipasang sejak dari awal jika mahu mengelak diri terjebak dengan cinta lokasi.

“Kalau ditanya saya macam mana cara mahu elak, tanya dulu apa niat sendiri. Sebab niat awak mahu berlakon, bukan niat datang set untuk mencari cinta. Kalau betul ada pelakon yang tiba-tiba ada keserasian, terpulanglah saya pun tak mahu mudah menghakimi.

“Tetapi untuk saya, tidak. Sebab itulah setiap kali masuk set penggambaran, saya akan kosongkan diri. Dengar cakap pengarah, jaga call time, jaga disiplin. Saya nak kerja dengan hasil terbaik.

“Lagi pula, tengoklah saya ini, perwatakan pun macam boy-ish. Kawan lelaki saya ramai dan terus-terang kebanyakan pelakon juga adalah kawan saya. Jadi lelaki mana nak mengurat pun? Mungkin mereka pun tak berminat,”katanya sambil tertawa.

Pada masa yang sama, Sakinah juga menasihatkan mana-mana pelakon baharu supaya tidak bermain-main apabila menerima sesebuah tawaran lakonan kerana ia umpama sebuah tanggungjawab penting untuk dipikul.

“Sebab itulah saya tekankan mengapa niat itu penting apabila kita pergi bekerja. Kita buat kerana apa? Kena ikhlas dalam bekerja. Jangan pula bila dapat satu kerja lakon, kita bermain-main.

“Disebabkan saya betul-betul nak bekerja, saya selektif. Saya tengok dulu, siapa pengarah, siapa pasangan pelakon. Kalau misal kata dapat pasangan pelakon yang tak okey pun, saya akan cuba okeykan sebab perlu dapat keserasian itu demi watak,”katanya.

Tanya isteri pelakon
Sakinah pada masa yang sama mengakui, seandainya dipasangkan dengan aktor yang berstatus suami orang, telah menjadi satu kelaziman untuknya bertanya dan meminta izin daripada si isteri untuk meneruskan sesebuah kerja lakon.

Inisiatif itu dilakukannya kerana sedar bahawa tidak semua pasangan aktor itu selesa jika suami mereka ‘dipinjamkan’ kepada seseorang aktres demi menjayakan sesebuah babak lakonan.

“Biasanya saya akan tanya pada isteri aktor yang digandingkan tentang sejauh mana keterbukaan mereka. Saya sentiasa minta izin dahulu sebelum berlakon dengan suami mereka. Ia penting supaya saya tahu had, apa yang perlu dan tak perlu, boleh bersentuhan atau tidak.

“Kita tak tahu macam mana perasaan isteri dan keluarga mereka. Kadangkala mak saya sendiri pun tak boleh tengok adegan saya kena pukul, dia tak sanggup. Memanglah benar lakonan ada teknik, tetapi saya lebih suka minta izin isteri aktor dahulu,”katanya.

Disebabkan itu, kongsi Sakinah, dia selesa untuk berlakon dengan pasangan aktor yang masih belum berkahwin kerana kurang kekangannya.

“Macam saya berlakon dalam drama Wok di saluran Unifi TV bersama Azhan Rani. Saya senang bekerja dengan dia sebab kami memang serasi, satu geng. Ia buat kami kerja pun dalam keadaan yang selesa.

“Masing-masing tak kahwin jadi kalau adegan bersentuhan itu boleh dilakukan tanpa ragu. Kalau berlakon dengan suami orang yang kita pun tak biasa, nanti saya pun kelihatan kekok,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya