IPOH: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak bersetuju terhadap cadangan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, garis panduan itu secara tidak langsung menyekat usaha pemahaman antara satu sama lain hanya akan menatijahkan jurang yang lebih besar antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim di negara ini.
Menurutnya, sejak kemerdekaan, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya tidak pernah timbul apa-apa isu ekoran kehadiran dan penglibatan mana mana kaum dalam perayaan dan upacara.
“DAPSY percaya rakyat Malaysia, sama ada Islam atau bukan Islam mempunyai kebijaksanaan dan kematangan untuk berinteraksi secara harmoni tanpa perlu campur tangan berbentuk garis panduan tambahan daripada mana-mana pihak berkuasa.
“Selama ini, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sering hadir dalam majlis perayaan pelbagai kaum dan tujuannya bukan untuk beribadah tetapi untuk berdialog dengan komuniti masyarakat yang berbeza demi mengukuhkan perpaduan nasional
“DAPSY dengan tegasnya menyeru pihak berkenaan untuk mengekalkan status quo dan membatalkan pelaksanaan garis panduan tersebut.
“Tidak ada keperluan untuk memperkenalkan garis panduan baru. Peraturan undang-undang sedia ada, protokol serta persefahaman sosial yang telah terbentuk selama ini sudah memadai untuk mengekalkan interaksi yang baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, program yang berlangsung di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja tidak menggugat kepercayaan agama mana-mana pihak, malah menunjukkan nilai keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat yang memiliki latar belakang yang heterogen (kepelbagaian).
Menurutnya, garis panduan seperti ini tidak diperlukan kerana hanya akan menambahkan karenah birokrasi yang membebankan penganjur yang ikhlas dalam mengadakan aktiviti kebudayaan dan perpaduan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai bangsa dan agama.
Beliau berkata, pelaksanaan garis panduan sedemikian akan mengurangkan peluang bagi masyarakat yang berasal daripada latar belakang yang berbeza untuk saling memahami budaya antara satu sama lain, sekali gus menjarakkan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia.
“Sebaliknya lebih banyak program kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan agama perlu dianjurkan bagi menggalakkan rakyat memahami serta menghormati perbezaan budaya masing-masing.
“Melalui interaksi yang terbuka dan ikhlas, barulah hubungan silaturahim antara masyarakat dapat terus diperkukuhkan demi menjamin keharmonian serta perpaduan negara,” katanya
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Kata beliau, garis panduan yang sedang dimuktamadkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu antara lain akan diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis berkenaan tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti.
Sebagai contoh, perkara membabitkan ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama umat Islam. – UTUSAN