KUALA LUMPUR: Pembangunan, pembukaan kawasan penempatan baharu dan peluasan sektor pertanian demi keterjaminan makanan terus menjadi cabaran dalam usaha pemuliharaan hutan di Malaysia.
Usaha mendapatkan dana yang mencukupi untuk memelihara dan memulihara hutan juga kekal menjadi halangan utama dalam memastikan kelestarian hutan terus dapat dipertahankan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kehilangan hutan bukan sekadar kehilangan pokok, tetapi juga memberi kesan besar kepada biodiversiti serta kestabilan iklim dunia.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memandang serius akan kepentingan pemuliharaan alam sekitar. Namun begitu, cabaran utama yang kita hadapi adalah memastikan sumber pembiayaan mencukupi bagi melaksanakan usaha pemuliharaan secara berterusan.
“Bagaimanapun, kerajaan tetap komited dalam mendapatkan sumber yang diperlukan untuk melindungi dan memelihara warisan semula jadi kita demi generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Memajukan Kepimpinan Mampan Dengan Melihat Hutan Sebagai Aset, di sini hari ini.
Menurut Nik Nazmi, kerajaan akan terus meneroka pelbagai mekanisme pembiayaan baharu yang lebih inovatif bagi memastikan usaha pemuliharaan hutan dapat dijalankan secara berterusan dan berimpak tinggi.
Jelasnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memastikan projek pemuliharaan mendapat dana yang mencukupi, tetapi juga membuka peluang ekonomi yang mampan kepada negara melalui sektor hijau dan pelaburan lestari.
“Bagi menangani cabaran ini, Malaysia Forest Fund telah memperkenalkan Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) pada Mei 2024 sebagai langkah untuk menarik pelaburan sektor swasta ke dalam projek pemuliharaan hutan.
“Dengan memanfaatkan sumber kewangan daripada syarikat dan pihak berkepentingan lain, FCC bertujuan menyokong amalan perhutanan mampan, pemulihan habitat, dan perlindungan biodiversiti negara,” katanya.
Nik Nazmi berkata, kerajaan juga akan terus meneroka mekanisme pembiayaan inovatif seperti bon hijau, sukuk, cukai karbon dan pelaburan lestari bagi memastikan kelangsungan dana untuk pemuliharaan alam sekitar.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk meneroka pelbagai sumber pembiayaan, termasuk perkongsian awam-swasta, geran antarabangsa dan peruntukan kerajaan.
“Namun, kita sedar bahawa mendapatkan pembiayaan yang konsisten dan jangka panjang masih menjadi cabaran yang kompleks.
“Ia bukan hanya soal sumber kewangan tetapi juga tanggungjawab bersama yang memerlukan usaha kolektif daripada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat,” katanya.
Nik Nazmi berkata, Malaysia perlu mengubah cara pandang dan menganggap hutan sebagai aset strategik negara yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan eko, pembayaran perkhidmatan ekosistem (PES) dan perdagangan karbon.
“Kita mesti bergerak ke hadapan dengan pemikiran yang lebih mampan, melihat hutan bukan sekadar sumber untuk dieksploitasi, tetapi sebagai warisan alam yang perlu dipulihara demi keseimbangan ekologi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.