KUALA LUMPUR: Tiada elemen jenayah didapati berlaku berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dapatan itu adalah hasil semakan pihaknya terhadap dokumen yang dibekalkan oleh DBKL pada 7 Februari lalu berhubung pelaksanaan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL.
“Bagaimanapun, semakan SPRM mendapati terdapat beberapa kelemahan daripada segi tatakelola pada garis panduan DBKL dan ia perlu diperkemaskan.
“Oleh yang demikian, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (PBT) SPRM sedang meneliti amalan dan beberapa prosedur DBKL berkenaan proses perolehan dan pembayaran kepada pihak tertentu mengikut garis panduan dan peraturan-peraturan yang sedia ada,” lapor Bernama, malam tadi.
Pada 6 Februati lalu, SPRM dilaporkan sedang meneliti dokumen berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Azam dilapor berkata, SPRM telah mendapat akses kepada dokumen yang diperoleh hasil siasatan dalaman dijalankan oleh DBKL.– UTUSAN