Da’i Syed kurang terima tawaran kerja, nafi 'digam' - Utusan Malaysia

Da’i Syed kurang terima tawaran kerja, nafi ‘digam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, filem ini adalah pembuka rezeki buat saya bagi tahun 2025.”

Demikian kata pelakon dan pendakwah bebas, Da’i Syed apabila filem yang dibintanginya iaitu Dajal: Satu Malam Dipedajal terbitan MIG mula ditayangkan di pawagam.

Menurut Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail, dia bersyukur apabila dirinya masih lagi diberi kepercayaan untuk menghiasi filem seram itu meskipun terpalit isu di mahkamah tahun lalu.

“Alhamdulillah filem ini adalah pembuka rezeki buat saya bagi tahun 2025. Sejujurnya, saya memang tiada tawaran kerja sebelum ini. Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih buat MIG dan pengarah kerana sudi memanggil saya.

“Mungkin ini juga rezeki anak dan isteri saya. Saya hanya menumpang rezeki mereka,” katanya.

Meskipun punca pendapatannya terjejas, Syed kini lebih selesa meneruskan kelangsungan hidupnya dengan membantu isterinya, Hana Ismail berniaga.

“Walaupun tiada tawaran dalam bidang seni, saya masih ada perniagaan yang menjual batu permata daripada Mesir. Saya dan isteri sedang giat jalankan bisnes tersebut.

“Walaupun Allah tidak memberikan rezeki di cabang ini, dia akan bagi di cabang lain. Namun, tangan saya masih terbuka untuk menerima rezeki dalam bidang seni.

“Saya masuk dalam industri ini dari tahun 2016 untuk sampaikan dakwah dalam nyanyian atau lakonan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Syed juga menyangkal dakwaan bahawa namanya sudah digam oleh mana-mana produksi susulan kes mahkamah yang masih berjalan.

“Kalau orang takut, takkan MIG mahu ambil saya berlakon. Saya pun tidak pasti. Kena tanya kepada pengarah atau produser. Apapun, saya akan sentiasa bersikap profesional. Apa sahaja tawaran yang diberikan, saya pasti akan buat yang terbaik,” jelasnya.

Reda dengan takdir hidupnya, pendakwah bebas itu positif menyifatkan ini merupakan peluang terbaik untuknya meluangkan masa secukupnya bersama keluarga terutamanya, puteri kesayangannya, Sharifah Fatma Nour Jamalullail.

“Masa itu adalah emas. Walaupun sesaat, saya nak menghabiskan waktu saya untuk melihat anak saya membesar di depan mata. Walaupun saya tidak menerima tawaran-tawaran lain, tapi saya dapat tawaran daripada Allah untuk melihat anak saya membesar.

“Sejak 17 hari saya meninggalkan anak saya, kini usianya sudah hampir enam bulan. Tak lama lagi sudah boleh makan pula,” ujarnya.

Ogos tahun lalu, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Seksyen, Shah Alam kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Aslam Zainuddin membenarkan permohonan peguam yang mewakili Syed, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff untuk dibebaskan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selepas 21 hari ditahan di Penjara Kajang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya