Dadah untuk 2.4 juta penagih dirampas

Dadah untuk 2.4 juta penagih dirampas

KHAW Kok Chin bercakap dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur berkenaan rampasan dadah bernilai RM23.67 juta. - UTUSAN/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah syabu dan ketamin dalam satu serbuan di Bandar Sri Damansara, Selangor dengan rampasan keseluruhan bernilai RM23.67 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan yang dijalankan 11 Februari lalu di sebuah rumah berjaya menangkap tiga lelaki berumur dalam lingkungan 41 hingga 58 tahun sekitar pukul 11.20 pagi.

“Pemeriksaan di bilik kedua dalam rumah menjumpai satu bungkusan plastik teh Cina berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu bungkusan lagi disyaki ketamin

“Pemeriksaan lanjut pada sebuah kereta yang dirampas, polis menjumpai sepuluh guni putih berisi 250 bungkusan teh Cina yang disyaki dadah ketamin di bahagian tempat duduk penumpang belakang barisan pertama.

“Pada pemeriksaan di bahagian tempat duduk penumpang belakang barisan kedua, polis menjumpai dua guni berisi 30 bungkusan teh Cina mengandungi ketulan  yang disyaki ketamin dan 15 bungkusan disyaki syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Tambah Kok Chin, anggaran berat dadah yang dirampas ialah seberat 287.27 kilogram (kg) untuk syabu dan 289.45 kg, ketamin yang dianggarkan bernilai RM23,665,354 dan mampu dibekalkan kira-kira 2.4 juta penagih.

“Sindiket ini telah aktif sejak akhir 2023 dan menggunakan rumah sewa tersebut sebagai tempat penyimpanan sebelum mengedarkan dadah secara tempatan dan antarabangsa. Rumah tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan harga RM2,000 sebulan sejak Disember 2023.

“Polis merampas aset dan wang tunai bernilai RM140,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Penyitaan Harta) 1988. Antara barang yang dirampas adalah kereta Mercedes-Benz E240, BMW 523i, Honda City, wang tunai RM23,000 dan jam tangan Rolex,” jelasnya.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah.

“Ujian air kencing awal mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah, manakala semakan latar belakang hanya seorang daripada mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya