KUALA LUMPUR: Kumpulan Amerika Syarikat, Culture Wars terbuka menerima peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk artis antarabangsa membuat persembahan di Malaysian.
Kata vokalis kumpulan tersebut, Alex Dugan, mereka sedar bahawa kehadiran mereka di tanah air adalah sebagai tetamu bahkan tiada masalah untuk mematuhi setiap syarat yang telah ditetapkan sebagai tanda hormat.
“Sebagai tetamu, kami sering membuat persembahan di serata dunia. Kami amat berbesar hati apabila diundang untuk membuat persembahan di sini. Memandangkan ini bukan rumah kami, kami tidak boleh cetuskan sebarang isu.
“Kami selesa untuk patuhi peraturan dan syarat yang telah ditetapkan. Kami hanya mahu menghiburkan penonton yang datang,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama media tempatan di sebuah hotel, semalam.
Vokalis kumpulan itu mengulas perkara tersebut susulan kontroversi yang pernah dicetuskan oleh penyanyi kumpulan antarabangsa, The 1975, Matty Healy yang bertindak melanggar beberapa garis panduan negara di Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Julai 2023.
Dalam perkembangan lain, kehadiran kumpulan yang turut dianggotai oleh Caleb Contreras, Dillon Randolph, David Grayson dan Josh Stirm itu adalah untuk membuat persembahan pembukaan di Konsert Siri Jelajah Maroon 5 Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, esok.
“Persembahan kami pada tahun lalu sangat mengagumkan, dan sambutan daripada peminat di sini amat luar biasa. Itu merupakan kali pertama kami membuat persembahan di sini.
“Jadi, kami tidak sabar untuk memberikan persembahan bertenaga untuk penonton yang hadir ke konsert esok. Kali ini kami akan menyampaikan sebanyak lapan lagu,” jelasnya.