KANGAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menahan seorang penunggang motosikal ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya Ops Bersepadu tahun Baharu Cina 2025 (Ops TBC 2025) di bulatan Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Lelaki berusia 30-an itu cuba mengelak sekatan JPJ kerana kesalahan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain, selain cukai jalan tamat tempoh sejak lima tahun lalu.
Pengarah JPJ negeri, Noraini Mohd Nawi berkata, ketika melalui pemeriksaan, penunggang motosikal berkenaan cuba melarikan diri namun anggota yang berada berhampiran berjaya menahannya.
Katanya, pemeriksaan mendapati, beberapa kesalahan dilakukan termasuk menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain, selain cukai jalan tamat tempoh.
“Menerusi semakan, nombor pendaftaran yang digunakan itu didapati didaftarkan atas sebuah motosikal lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Noraini memberitahu, pihaknya menerusi Ops TBC bermula sejak 20 Januari sehingga semalam telah mengeluarkan sebanyak 2,757 notis atas pelbagai kesalahan dengan enam kenderaan disita sepanjang tempoh tersebut.
“Jumlah notis dikeluarkan menurun berbanding Ops TBC 2024 yang merekodkan 3,755 notis atas pelbagai kesalahan. JPJ negeri turut melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi mengenalpasti kesalahan dilakukan pemandu sepanjang tempoh Ops TBC,” katanya.
Noraini berkata, sepanjang tempoh Perintah Larangan Pemanduan Barangan selama empat hari sebelum ini, JPJ negeri juga telah melakukan pemeriksaan terhadap 2,468 kenderaan dan sebanyak 319 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan namun tiada kenderaan disita.
“Larangan ini telah dikuatkuasakan kerajaan sepanjang tempoh berkenaan bagi mengelak risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik kenderaan berat dan persendirian selain mengurangkan kesesakan,” katanya.-UTUSAN