PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mempersoalkan keputusan kerajaan untuk tidak menyambung perkhidmatan kira-kira 30,000 kakitangan kontrak yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil dan membebankan mereka yang telah lama berkhidmat dalam sektor awam, khususnya yang memiliki pengalaman dalam perkhidmatan kontrak selama enam tahun.
Katanya, tindakan tersebut tidak mengambil kira sumbangan dan dedikasi kakitangan kontrak yang memberikan komitmen sepenuhnya kepada perkhidmatan awam.
“CUEPACS mencadangkan agar pengalaman kerja selama enam tahun dalam perkhidmatan kontrak diiktiraf untuk penyambungan perkhidmatan ke gred 1 di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), seperti yang diberikan kepada jawatan tetap.
“Bagi pengekalan Jawatan Kontrak di Bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM). Kakitangan yang tidak memiliki SPM dan kurang enam tahun pengalaman, kontrak mereka perlu diteruskan di bawah sistem SSM bagi mengelakkan kehilangan pekerjaan secara mendadak,” katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih ihsan dan adil terhadap nasib kakitangan kontrak yang lama berkhidmat dalam sektor awam.
Katanya, mereka telah menyumbang kepada perkhidmatan awam dengan penuh dedikasi dan tidak seharusnya diperlakukan seperti pekerja sementara yang boleh diberhentikan begitu sahaja.
Sementara itu, Adnan turut menyenaraikan enam isu yang dihadapi oleh kakitangan kontrak susulan keputusan kerajaan tidak menyambung kontrak mereka.
Antaranya, kakitangan kontrak bergred 11 hingga 18 ditamatkan perkhidmatan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan SPM, walaupun telah lama berkhidmat dan menyumbang kepada sektor awam.
Isu kedua, pengalaman kerja selama enam tahun dalam perkhidmatan kontrak tidak dipertimbangkan untuk kenaikan gred ke SSPA, sedangkan bagi jawatan tetap, pengalaman ini diambil kira.
Isu ketiga, terdapat kakitangan kontrak yang telah lama berkhidmat tetapi diberhentikan tanpa sebarang jaminan pekerjaan, menyebabkan ketidakstabilan kewangan.
Isu keempat, sebahagian kakitangan ditukar daripada status Contract For Service ke Contract Of Service, yang menimbulkan kekeliruan dalam aspek faedah dan perlindungan kerja.
Isu kelima, ramai kakitangan kontrak yang kehilangan kerja mengalami tekanan emosi kerana telah lama berkhidmat dan bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan tersebut.
Isu keenam ialah terdapat kakitangan yang berkhidmat lebih 15 tahun sebagai kontrak tetapi kini kehilangan kerja secara serta-merta yang menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan baharu.
Adnan turut menggesa kerajaan segera mengadakan perbincangan untuk mencari penyelesaian menang-menang yang tidak menindas kebajikan kakitangan kontrak dalam sektor awam.
“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan kami dan mengambil langkah yang lebih adil serta ihsan dalam menguruskan isu ini demi kebajikan kakitangan kontrak yang telah lama menyumbang kepada perkhidmatan awam,” katanya. – UTUSAN