IPOH: Dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan menghalang pemimpin asing bertemu dengannya disifatkan sebagai cubaan mencipta persepsi buruk terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata jika dakwaan itu benar, bekas Perdana Menteri itu perlu mengemukakan bukti dan tidak hanya membuat kenyataan secara umum.
Katanya, kegagalan Mahathir menyebut nama pemimpin asing dimaksudkan menunjukkan beliau berbohong.
“Ini cubaan untuk mencipta persepsi buruk kepada Perdana Menteri dan juga percubaan untuk meraih simpati politik seolah-olah beliau terpaling tersakiti dan dianiaya.
“Kalau ada nama (pemimpin negara) nyatakan, siapa dia dan dari negara mana. Kalau tidak, Mahathir berbohong, itu sahaja.
“Kenyataan umum tidak membantu dan kita tidak perlu layan sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Semarak Keadilan Kita Madani di sini semalam.
Dakwaan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu timbul selepas beliau mendakwa Anwar menghalang beberapa pemimpin negara asing bertemu dengannya. – UTUSAN