HULU SELANGOR: Polis sudah menahan suspek lelaki yang cuba mencabul seorang budak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 19 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini untuk dipohon reman bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Katanya, orang ramai mempunyai apa-apa maklumat diseru tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Tular sebuah video menunjukkan seorang lelaki cuba membuat perkara tidak senonoh terhadap seorang kanak-kanak perempuan hari ini.
Difahamkan kejadian terbabit berlaku di sebuah masjid di Batang Kali di sini kira-kira pukul 6.40 pagi.
Kejadian terbabit berlaku ketika beberapa penduduk setempat sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.
Secara tiba-tiba, seorang lelaki berbaju kuning memasuki ruang solat wanita dan dilihat mendukung sebelum melarikan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang solat di bahagian belakang saf.
Dalam rakaman tersebut, turut dilihat, lelaki berkenaan kemudian membawa kanak-kanak itu ke ruang yang lain dan didakwa cuba melakukan perkara terkutuk ke atas mangsa. – UTUSAN