PETALING JAYA: Malaysia kini berada dalam fasa penghujung Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2025 yang mengakibatkan cuaca panas dan kering di kebanyakan kawasan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd Anip berkata, litupan awan dan taburan hujan dijangka berkurangan terutama di utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.
Katanya, ketiadaan hujan yang berpanjangan boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada kebiasaan.
“Situasi cuaca panas dan kering yang dialami pada ketika ini adalah fenomena berulang yang berlaku setiap tahun, bermula pada bulan Februari hingga Mei.
“Dalam tempoh ini, suhu harian tertinggi boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, suhu tertinggi dicatatkan di stesen Meteorologi MET Malaysia adalah 36.1 darjah Celsius di FELDA Teloi Kanan, Baling, Kedah.
Selain itu, Mohd. Hisham berkata, terdapat potensi berlakunya gelombang haba dan jerebu setempat dalam tempoh ini.
Namun, katanya, keadaan cuaca panas tahun ini dijangka tidak seteruk tahun lalu kerana dipengaruhi oleh fenomena La Nina lemah yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berjimat dalam penggunaan air dan mengelakkan pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas dan kering ini.
“Orang ramai juga disarankan untuk mengehadkan tempoh berada di kawasan terbuka bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.
“MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan orang ramai dinasihatkan untuk peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca, dan media sosial MET Malaysia,” katanya. – UTUSAN