PETALING JAYA: Cuaca sepanjang Ramadan kali ini diramal lembap dan tidak sepanas tahun lalu berikutan pengaruh fenomena La Nina lemah yang berlaku dan dijangka berterusan sehingga pertengahan 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac ini.
“Dalam tempoh berikut, litupan awan dan taburan hujan akan berkurangan di kebanyakan tempat khususnya di kawasan utara Semenanjung seperti Perak, Pahang dan Kelantan.
“Walaupun cuaca panas dan kering masih boleh berlaku terutamanya di kawasan utara Semenanjung, keadaan tahun ini dijangka tidak seteruk tahun lalu. Ia disebabkan oleh pengaruh La Nina lemah yang membantu meningkatkan kelembapan atmosfera, seterusnya mengurangkan risiko gelombang haba yang lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, sepanjang Ramadan, cuaca dijangka baik pada sebelah pagi manakala ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku pada sebelah petang dan awal malam.
Jelasnya, keadaan tersebut akan lebih ketara di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung; selatan, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah.
“Bagaimanapun, bagi penduduk di kawasan utara Semenanjung, cuaca dijangka sedikit lebih panas dan kering berbanding kawasan lain dengan suhu harian boleh melebihi 35 darjah celsius pada awal petang.
“Pada 11 Februari lalu, kita merekodkan suhu tertinggi di Malaysia iaitu 36.1 darjah celsius di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah,” katanya.
Kata beliau, walaupun risiko gelombang haba dan jerebu setempat masih wujud dalam tempoh ini, keadaannya dijangka lebih terkawal berbanding 2024.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengehadkan aktiviti luar pada waktu tengah hari serta memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi. Selain itu, langkah penjimatan air dan larangan pembakaran terbuka juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kesan negatif terhadap alam sekitar,” ujarnya. – UTUSAN