KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu berharap masyarakat tidak memandang negatif dan menganggap tindakan jemaah yang memuat naik kandungan atau gambar sewaktu mengerjakan umrah sebagai mengejar keseronokan dan bukan untuk beribadah.
Kata Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, tindakan itu sepatutnya diambil positif dan dijadikan asbab untuk menarik lebih ramai orang terbang ke tanah suci untuk melakukan ibadah tersebut.
“Susah untuk fahamkan orang lain mengenai perkara ini. Setiap individu ada pandangan masing-masing. Ada yang nampak buat content di tanah suci itu perkara baik, ada pula yang anggap tidak.
“Apa yang boleh saya katakan, berbalik kepada niat masing-masing. Bukankah ada baiknya kalau video atau gambar yang dikongsikan di media sosial itu dapat menarik ramai orang mengerjakan umrah?
“Saya sudah beberapa kali mengerjakan umrah, ada kalanya terpanggil selepas melihat perkongsian jemaah lain di sana.
“Apa pun, kami buat yang terbaik untuk tarik orang melaksanakan umrah. Ibadah tetap diutamakan, kandungan yang dimuat naik berpada-pada,” katanya dalam sidang media di Nuh Travel & Tours baru-baru ini.
Shuib mengulas mengenai tindakan segelintir pempengaruh dan artis yang rancak memuat naik pelbagai kandungan termasuk gambar dan video ketika mengerjakan umrah yang membuatkan segelintir pihak mempersoalkan niat mereka ke tanah suci.
Pelawak itu, bersama Mamat Sepah dan penyampai radio Suria FM, Kai Hassan menerima tajaan Nuh Travel & Tours untuk mengejarkan umrah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Mengulas isu sama, Mamat tidak menolak kandungan yang dikongsikan membawa impak positif dan mampu mengubah persepsi masyarakat yang selama ini ditakut-takutkan dengan cerita tidak benar apabila berada di tanah suci.
“Kita nak ajak lebih ramai orang laksanakan umrah, tapi ada dalam kalangan mereka yang mungkin takut untuk ke sana kerana sebelum ini diberitahu mungkin tak nampak Kaabah sebab dosa-dosa yang kita lakukan. Selalunya yang menjadi mangsa adalah orang muda.
“Tapi, dengan gambar atau video yang dikongsikan, pasti dapat mengubah persepsi itu, sekali gus membuatkan lebih ramai terpanggil untuk mengerjakan umrah.
“Kalau kami ke sana, tidaklah keterlaluan buat content. Cukup sekadar capai matlamat untuk ajak orang ke Mekah. Ibadah di sana tetap kena jaga,” katanya.