Untuk mencipta identiti bagi penyanyi berkumpulan, sememangnya tidak mudah apatah lagi apabila namanya masih hijau dalam persada seni muzik tanah air.
Malah, persaingan yang tinggi juga membuatkan sesetengah kumpulan itu perlu bekerja keras untuk meraih penerimaan ramai dari setiap karya yang dipertaruhkan.
Seperti kumpulan M-Pop, Coex yang dianggotai Mikaela Qistina, Dals, Amylia Loh dan Elysha Khan, mereka tidak gentar untuk terus pertaruhkan karya dan lagu menerusi pelbagai genre demi mengekalkan kedudukan mereka dalam industri muzik.
Menurut Amylia yang mesra disapa sebagai Amy, mereka gemar bereksperimentasi dengan menerapkan elemen kebudayaan menerusi setiap lagu yang dilancarkan.
“Dalam lagu kami, sentiasa ada elemen budaya Malaysia. Kami tidak berpegang pada satu genre sahaja sebab kami suka bereksperimentasi.
“Macam mana pun lagu itu tetap kami selitkan elemen tradisional di dalamnya. Jadi, itulah identiti yang kami akan bawa ke mana-mana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Amy, memandangkan mereka dianggotai oleh kaum yang berbeza seperti Baba Nyonya, India dan Melayu, perkara itu juga secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada identiti kumpulan tersebut.
Ditanya sama ada sukar untuk meraih populariti seperti kumpulan yang lain, Dals yakin perkara itu merupakan fasa normal bagi setiap individu yang mahu mula bertapak dalam dunia muzik.
“Kami tidak rasa susah untuk mendapat tempat dalam industri ini. Kami juga tidak terlalu bersaing kerana setiap kumpulan ada perjalanan tersendiri. Malah, ada juga yang lebih senior dari kami pernah lalui fasa itu untuk capai ke tahap sekarang.
“Yang susahnya untuk meningkat naik, tapi pada kami itu bergantung pada nasib. Kalau lagu kami meletup, nama kami akan naik. Sebab itu juga saya rasa asalkan kami kekalkan identiti ini kami okey,” jelasnya.
Sudah menjadi lumrah, konflik dan pergaduhan sering menjadi pencabar keutuhan sesebuah persahabatan sekali gus menjadi penentu sama ada hubungan itu akan berkekalan atau terus terlerai.
Namun, perkara itu tidak menggugat keutuhan persahabatan empat anggota kumpulan ini yang sentiasa profesional dalam mengekalkan keharmonian hubungan mereka.
“Pergaduhan itu perkara biasa. Mana-mana persahabatan pun akan ada salah faham itu. Cuma kami cari cara untuk jadi lebih profesional. Contohnya, kalau bergaduh di dalam satu bilik itu, bila keluar semuanya kembali normal.
“Sekiranya perkara itu berlaku, kami tetap akan berkomunikasi kerana kami bekerja sekali. Pergaduhan itu ibarat bergaduh manja seperti adik-beradik saja, tidak lama,” kata Amy.
Selain itu, mereka turut yakin bahawa matlamat yang sama membuatkan mereka tidak mahu membuang masa dan sia-siakan penat lelah yang telah diusahakan bersama sejak awal penubuhan kumpulan tersebut.
“Kami semua mempunyai hala tuju yang sama. Sejak awal penubuhan kumpulan ini kami sepakat untuk capai matlamat itu bersama.
“Jadi, jika salah seorang itu mahu tempuhinya separuh jalan sahaja, maaf dia tidak akan ada jalan keluar.
“Kami melihat kerjaya ini perkara yang serius. Kalau ada niat untuk main-main sepatutnya dari awal lagi tidak perlu sertai dan membazir masa anggota lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Coex kini tampil mempertaruhkan single keempat mereka yang bergenre balada, Beku hasil ciptaan Iqie Hugh dan Omar K.-UTUSAN