Cikgu Nazmi tersenarai 10 terbaik Hadiah Guru Global 2025

Cikgu Nazmi tersenarai 10 terbaik Hadiah Guru Global 2025

MUHAMMAD Nazmi Rosli disenarai pendek sebagai salah seorang daripada 10 finalis terbaik bagi anugerah berprestij Hadiah Guru Global 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejarah baharu tercipta dalam bidang pendidikan negara apabila Cikgu Nazmi, pemenang Hadiah Guru Malaysia 2023 anjuran PEMIMPIN, daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Sarawak, melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya disenaraikan sebagai salah seorang daripada 10 finalis terbaik bagi anugerah berprestij Hadiah Guru Global 2025

Anugerah tersebut menawarkan hadiah bernilai USD 1 juta, anjuran Varkey Foundation memberi pengiktirafan kepada guru-guru luar biasa yang memberi sumbangan besar kepada profesion perguruan.

Ia juga bertujuan meningkatkan martabat guru di seluruh dunia dan mengiktiraf peranan mereka sebagai penggerak masa depan masyarakat. Pengumuman Pemenang GTP akan berlangsung di Dubai pada 11 Februari 2025.

Cikgu Nazmi dikenali atas inovasi dan komitmennya dalam mendidik anak bangsa. Salah satu usaha beliau yang paling menginspirasikan adalah Kelab Filpen, yang bukan sahaja mengupayakan muridnya tetapi turut menangani cabaran masyarakat setempat.

Semasa bertugas di SK Luagan, Sarawak, beliau memulakan program keusahawanan berasaskan filem yang mengajar pelajar kemahiran membuat filem, pemasaran, dan literasi kewangan.

Program ini bukan sahaja membentuk kepimpinan dan kreativiti dalam kalangan pelajar tetapi turut berjaya mengumpul dana untuk membeli bot, memastikan pelajar dapat ke sekolah walaupun ketika banjir.

Kini, Cikgu Nazmi dalam usaha untuk memperluaskan impak ini melalui penganjuran Festival Filpen di Sarawak, demi memberi peluang kepada pelajar di negeri berkenaan untuk mengasah bakat kreatif mereka melalui penghasilan filem. Nazmi amat bersyukur diberi peluang untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas global.

Perjalanan tersebut daripada memenangi Hadiah Guru Malaysia 2023 anjuran PEMIMPIN, sehingga disenaraikan sebagai salah seorang daripada 10 finalis terbaik Hadiah Guru Global – adalah sebuah pengalaman yang penuh erti dan tidak ternilai.

“Kejayaan ini saya dedikasikan sepenuhnya kepada murid-murid saya yang menjadi inspirasi dan pendorong utama di sebalik setiap usaha saya. Semangat mereka untuk terus belajar dan maju menjadi nadi kepada semua projek yang telah kami jayakan bersama.” ujarnya

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, turut memberikan penghargaan kepada Cikgu Nazmi atas pencapaian ini. Beliau berkata, pencapaian Nazmi sebagai salah seorang daripada finalis 10 teratas Hadiah Guru Global 2025 adalah bukti keupayaan guru Malaysia untuk mencipta perubahan besar dan cemerlang di pentas global.

“Saya amat mengagumi pendekatan Cikgu Nazmi yang berpusatkan murid dan bagaimana beliau memupuk kreativiti serta kepimpinan generasi muda melalui inovasi seperti Kelab Filpen.

“Kementerian Pendidikan Malaysia berbangga dengan dedikasi dan semangat luar biasa guru-guru seperti Cikgu Nazmi, dan kami akan terus menyokong usaha mereka dalam membentuk generasi masa hadapan Malaysia MADANI.” ujarnya.

Perjalanan Nazmi sebagai pendidik juga telah dibantu oleh inisiatif PEMIMPIN. Dari 2021 hingga 2022, beliau menyertai Leadership, Enrichment, and Development (LEAD) Fellowship, sebuah program selama 10 bulan yang membangunkan pemimpin pertengahan di sekolah melalui kemahiran berasaskan bukti dan amalan terbaik.

Kemudian pada tahun 2023, beliau dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Guru Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama YTL Foundation, Yayasan Hasanah dan ECM Libra Foundation. –UTUSAN

Pengumuman pemenang GTP yang akan menerima USD 1 juta akan diadakan di Dubai 11 Februari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN