PETALING JAYA: China didakwa semakin agresif mengeksploitasi dan ‘memunggah’ hasil laut di perairan negara dengan menjalankan pemetaan dasar laut di Laut China Selatan bagi memudahkan pergerakan kapal selamnya di kawasan tersebut.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, tindakan itu bukan sekadar pencerobohan biasa, tetapi satu bentuk strategi jangka panjang yang boleh menjejaskan sumber perikanan dan mengancam kedaulatan negara.
Beliau berkata, terdapat usaha lebih terancang oleh pihak tertentu, bukan sahaja untuk menangkap ikan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia tetapi juga untuk menguasai kawasan tersebut melalui pemetaan dasar laut.
Sebelum ini, beliau dilaporkan memberi taklimat khas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kajiannya membabitkan Laut China Selatan.
Menurut Salawati, nelayan Malaysia, khususnya di Sarawak, sudah lama berdepan ancaman akibat pencerobohan namun isu itu tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Kita ada bukti nelayan di Bintulu mengalami kecederaan dan bot mereka dilanggar oleh militia atau pengawal pantai China.
“Tetapi Malaysia tidak membesarkan isu ini kerana faktor hubungan diplomatik dengan China,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai kesan ekonomi akibat eksploitasi hasil laut negara, beliau berkata, perkara ini amat serius kerana sumber ikan di perairan negara juga semakin berkurangan.
Malah eksploitasi hasil laut oleh China bukan hanya berlaku di perairan Malaysia, tetapi juga di Filipina dan Vietnam.
“China menangkap ikan secara besar-besaran hingga menyebabkan spesies ikan tertentu semakin pupus.
“Kehilangan sumber ikan dalam jumlah besar boleh menyebabkan Malaysia terpaksa mengimport ikan dari China atau negara lain pada masa akan datang. Ia satu kemungkinan yang tidak mustahil,” katanya.
Pencerobohan nelayan asing mengakibatkan negara menanggung kerugian sehingga RM823.88 juta selepas hasil laut negara dicuri oleh golongan terbabit sepanjang tahun 2020 hingga 2023.
Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh dan Laporan Sea Around Us, hanya 50 peratus hasil laut negara mendarat di Malaysia manakala selebihnya dicuri nelayan asing ke negara masing-masing.
Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, sebanyak RM225.22 juta kerugian dicatatkan berlaku pada tahun 2020, RM238.69 juta (2021), RM200.19 juta (2022) dan RM159.77 juta (2023).
Salawati berkata, dari sudut ekologi, impaknya juga serius kerana China membina pulau-pulau buatan di atas batuan yang ditakluknya dalam kawasan tuntutan Nine-Dash Line.
Perkara ini bukan rahsia kerana ia boleh diperhatikan melalui imej satelit Amerika Syarikat (AS) dan pemantauan daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Malah, pembinaan pulau-pulau buatan ini bertentangan dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) Perkara 121(3), yang menyatakan batuan tidak boleh dianggap sebagai pulau atau dijadikan habitat.
“Dalam jangka masa panjang, ketegangan di Asia Tenggara akan terus meningkat.
“China mula menempatkan pelbagai infrastruktur ketenteraan, termasuk sistem peluru berpandu di kawasan ditakluknya.
“Ini menunjukkan selain kehilangan hasil laut, kita juga berdepan dengan isu keselamatan yang semakin kompleks dan membimbangkan dan ini merupakan ancaman kepada kedaulatan Malaysia,” katanya. – UTUSAN