PUTRAJAYA: Cerapan Hilal Ramadan yang bertempat di Aras 3, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini dilaporkan tidak kelihatan sekali gus mengesahkan tarikh mula berpuasa adalah pada Ahad ini sebagaimana diumumkan Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja.
Pegawai Falak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muhammad Saidul Marjuni berkata, cerapan berlangsung selama 21 minit, bermula pada 7:29 malam dan berakhir pada 7:50 malam tadi.
Katanya, selepas selesai melakukan cerapan, pihaknya telah melaporkan keputusan hasil cerapan kepada Pejabat Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja.
“Cerapan Hilal pada hari ini berjalan serentak di 29 buah lokasi cerapan.
“Di PICC, petugas kita terdiri daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, cerapan ini juga melibatkan Barisan Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal atau Jawatankuasa Melihat Anak Bulan yang dilantik bagi mengesahkan kenampakan anak bulan.
“Jadi, Alhamdulillah, Pejabat Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja telah mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan 1 Ramadan adalah pada 2 Mac 2025,” katanya. – UTUSAN