Cemerlang SPM, ibu bawa anak daki Gunung Kinabalu

Cemerlang SPM, ibu bawa anak daki Gunung Kinabalu

ABDUL MUIZ Qusyairi Jalailudin (kiri) bersama ibunya, Norhayati Mohamed Noor merakam kenangan di puncak Gunung Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Termakbul cita-cita untuk mendaki dan menikmati keindahan alam di puncak Gunung Kinabalu, Sabah apabila Abdul Muiz Qusyairi Jalailudin,18, dibawa oleh ibunya, Norhayati Mohamed Noor, 43, menyertai aktiviti ekstrem tersebut baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Abdul Muiz berkata, segalanya bermula apabila dia membuat permintaan tersebut kepada ibunya selepas berjaya meraih keputusan cemerlang, iaitu 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023.

“Pada mulanya tidak percaya apabila ibu saya memberitahu untuk membawa saya mendaki Gunung Kinabalu dan merupakan hadiah istimewa selepas saya memperoleh kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

“Kesungguhan ibu memberi keyakinan kepada saya lalu membuat persediaan yang rapi kerana keadaan kaki belum pulih sepenuhnya selepas dimasukkan besi akibat kemalangan jalan raya Mei 2023,” katanya di Temerloh baru-baru ini.

Semangat terus membara serta yakin kerana pendakian bersama ibu kesayangannya yang juga merupakan seorang pendaki tegar pernah menawan kesemua puncak G7, iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Tahan; Gunung Korbu dan Gunung Yong Belar selain pernah mendaki puncak Gunung Pulag, Luzon (Filipina) serta Gunung Rinjani, Gunung Kawah Ijen dan Gunung Bromo di Indonesia sebelum ini.

Penuntut Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail di Pagoh, Johor dalam jurusan asasi Teknologi Kejuruteraan berkata, kejayaannya mendaki Gunung Kinabalu merupakan pencapaian istimewa sekali gus membunga hasrat untuk menjadi seorang pendaki seperti yang dilakukan oleh ibu kesayangannya.

“Saya beryukukerana ini dianggap satu pencapaian besar buat diri serta berterima kasih kepada ibu sebab membantu aspek teknik mendaki serta meniup semangat sehingga ke puncak gunung,” katanya.

Sementara itu, Norhayati berkata, anaknya, Abdul Muiz Qusyairi telah membuat permintaan tersebut selepas berjaya meraih keputusan cemerlang 6A dalam SPM 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN