KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar yang sangat rendah itu diyakini tidak membebankan majikan.
Jelasnya, kerajaan akan terus menilai situasi semasa sebelum membuat sebarang perubahan.
“Kabinet sudah mempertimbangkan rayuan daripada dewan perniagaan. Jadi kita kekalkan pada kadar dua peratus.
“Kita buat keputusan untuk mengekalkan kadar tersebut buat sementara waktu sehingga keadaan bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.
Sebelum ini, cadangan asal ditetapkan pada kadar 12 peratus bagi golongan pekerja asing berkenaan.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, tahun lalu, Anwar berkata, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warga negara mencarum KWSP dan ia akan dilaksanakan secara berfasa. – UTUSAN