PETALING JAYA: Pelakon, Rita Rudaini, menyifatkan sikap yang ditunjukkan pempengaruh, Imran Bard dalam video permohonan maaf kepada Ellie Suriaty di aplikasi TikTok sebagai biadab.
Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, 48, berpendapat Imran seharusnya menggunakan bahasa lebih sopan dengan memanggil Ellie dengan gelaran ‘Puan’ selepas melakukan kesalahan.
“Dia bukan mak cik hang, lebih sopan panggil dia ‘Puan’. Cara minta maaf pun tiada adab.
“Ada maksud tersirat kenapa Ellie minta ibu bapanya datang minta maaf.
“Kaya macam mana pun, belajar setinggi mana. Jika tiada adab, tidak perlu rasa diri itu hebat,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story pada Ahad.
Dalam hantaran yang sama, pelakon Rafflesia itu turut mempertahankan rakannya, Ellie yang dikatakan perlu bersyukur kerana tindakan Imran membuatkan namanya semakin dikenali.
“Hello, Ellie tidak perlu pempengaruh untuk naikkan namanya. Nama dia dalam industri seni negara sudah besar.
“Zaman kami dulu, kami semua naik lebih awal berbanding sebelum muncul media sosial,” tambahnya.
Terdahulu, pempengaruh, Imran Bard mencuri tumpuan apabila memuat naik kandungan video memaparkan situasi sebuah pertandingan nyanyian yang didakwa memfitnah Ellie mengambil barangan terlarang.
Perkara tersebut membuatkan Ellie mengadakan sidang media meminta ibu bapa pempengaruh berkenaan tampil memohon maaf.
Bagaimanapun, Imran telah memuat naik satu video permohonan maaf selain mengatakan ibunya sedang menerima rawatan di sebuah wad. -UTUSAN