KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) berjaya mencapai 91 peratus daripada sasaran pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik bagi tempoh 10 tahun mulai 2018 hingga 2028.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, baki kira-kira 7,000 unit lagi dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun yang masih berbaki.
“Dengan pencapaian semasa, saya percaya sasaran ini boleh dicapai sepenuhnya menjelang 2028, Insya-Allah,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH- Bandar Tun Razak) yang memintanya menyatakan langkah-langkah kerajaan untuk merancakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, setakat ini, sehingga 31 Januari 2025, sebanyak 72,864 unit rumah telah dibangunkan menerusi Program Residensi Wilayah dan Residensi Madani.
Katanya, projek-projek ini melibatkan 101 projek perumahan yang telah siap, dalam pembinaan, atau telah menerima Perintah Pembangunan (Development Order, DO) di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
“Antara projek yang sedang dalam pelaksanaan ialah 5,015 unit Residensi Putrajaya, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 28 Oktober 2024 dan dijangka siap antara tahun 2027 hingga 2028,” katanya. – UTUSAN