Cadangan syif 45 jam: Tunggu libat urus selesai - Dzulkefly

Cadangan syif 45 jam: Tunggu libat urus selesai – Dzulkefly

ZULKEFLY Ahmad (duduk, tengah) pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara (SPU) di Klinik Kesihatan Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka memuktamadkan keputusan berhubung pelaksanaan tempoh bekerja 45 jam bagi petugas syif di hospital khususnya jururawat sebaik sahaja sesi libat urus berkaitan selesai.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini, sesi tersebut telah diadakan di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Johor serta dijangka berakhir di Terengganu minggu depan.

“Apa yang saya nak sebutkan ialah, izinkan kami (KKM) mengadakan semua libat urus ini terlebih dahulu dan saya sendiri sudah nampak bagaimana kecenderungan, permintaan serta tuntutan daripada program kejururawatan berkenaan apa yang mereka mahu sebenarnya.

“Saya sendiri ‘update’ (kemas kini) dengan Kabinet dan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengenai perkara ini. Ia bukan sesuatu yang sukar untuk saya atasi. Doakan bersama agar kita akan dapatkan satu keputusan yang baik untuk kebajikan jururawat kita dan sebagainya dalam waktu yang terdekat ini, insya-Allah,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan pelbagai pihak susulan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan menetapkan jururawat bekerja secara syif selama 45 jam seminggu, berbanding 42 jam ketika ini.

Menjawab kepada gesaan yang mahu kerajaan memberi keutamaan kepada penambahbaikan terma perkhidmatan dan imbuhan jururawat berbanding hanya melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan pula, Dzulkefly menganggap kedua-dua perkara adalah mustahak.

“Kita masih mengekalkan standard latihan dan kemahiran graduan jururawat meskipun syarat kemasukan dilonggarkan,” katanya yang memberi jaminan bahawa kualiti latihan kejururawatan tidak akan terjejas disebabkan isu itu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, sebanyak RM18.9 juta telah diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.

“Pelaksanaan sistem itu akan melibatkan 100 buah klinik kesihatan di seluruh negara termasuk 10 klinik di Pulau Pinang dan kerajaan juga akan melaksanakan sistem rekod perubatan elektronik (EMR) di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ), dengan pelaksanaannya dijadual bermula pada tahun 2026.

“Hospital-hospital lain juga akan dilengkapi dengan sistem ini secara berperingkat mengikut perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya yang memaklumkan, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendigitalkan semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan selepas ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya