KANGAR: Keluhan pemilik kilang Dibuk Sdn. Bhd. yang bakal gulung tikar selepas 57 tahun beroperasi bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya ia adalah realiti sebenar dihadapi kilang padi bumiputera terbesar itu.
Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, pihaknya tidak mampu bertahan selepas terhimpit dengan polisi harga siling beras yang tidak memberi keuntungan bukan sahaja kepada pengilang, sebaliknya turut menjejaskan pesawah.
Katanya, kilangnya juga terhimpit apabila isu penyelewengan beras terus berlaku sejak setahun lalu yang mana ia hanya menguntungkan pengilang besar.
“Pendapatan sedia ada kini sudah tidak mampu menampung komitmen pembayaran hutang bank yang sangat tinggi. Tidak sangka pula laporan mengenai masalah kilang padi kami yang dilaporkan baru-baru ini menjadi isu nasional. Baguslah, sekurang-kurangnya ramai yang prihatin.
“Tetapi saya berharap jangan salah anggap. Keluhan kami ini bukan meminta simpati apatah lagi meminta duit sebaliknya memang tanggungan kami dengan bank sangat tinggi. Di sebalik pendapatan sedia ada sudah tidak mampu lagi menampung komitmen pembayaran hutang bank.
“Lebih terhimpit apabila penyelewengan beras berlaku lebih dari setahun yang hanya menguntungkan pengilang dan pemborong yang sanggup menipu. Kalau kami ikut sama menipu, kami boleh bertahan dan boleh untung, tapi di akhirat muflis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan, kilang padi bumiputera terbesar di negara ini yang beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kilang yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di Perlis bagi menjual hasil tuaian mereka, sudah tidak mampu lagi bertahan.
Daripada 117 kilang bumiputera yang aktif dan mampu memproses sehingga 1.17 juta tan metrik setahun, kini hanya tinggal tujuh buah sahaja masih bertahan dengan dijangka bakal gulung tikar dalam tempoh terdekat.
Tambah Ezreen Muhaizi, pihaknya hanya meminta keprihatinan dan perhatian pihak berkuasa untuk mendengar isu yang melanda.
“Kami ada solusi untuk dicadang yang boleh membetulkan industri dan memberi kebaikan kepada semua. Baik pesawah, pengilang, pengguna malah kerajaan. Tetapi ia tidak memberi kesan kerana hanya yang berkuasa sahaja yang mampu mengubah jika ada kemahuan,” katanya. – UTUSAN