KUALA LUMPUR: Pembangkang mempersoal sikap kerajaan yang didakwa tidak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan menyembunyikan dan menafikan Titah Adendum Seri Paduka berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bukan pemimpin pembangkang dan rakyat sahaja perlu menjunjung titah Seri Paduka.
Kata beliau, tindakan kerajaan yang didakwa menyembunyi atau menafikan titah Seri Paduka merupakan satu bentuk penderhakaan.
“Kalau kita kata yang perlu dijunjung, bukan kami (iaitu) pembangkang kena dengar 3R (isu agama, bangsa dan institusi diraja) (dan) ini perintah, kami junjung. Kepada rakyat, 3R, kena jaga semua ini, rakyat junjung.
“Tetapi kalau keingkaran yang dibuat oleh kerajaan, di mana letaknya? Menyembunyi atau menafikan titah YDPA adalah suatu penderhakaan kepada negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri sudah pun terikat dengan ikrar dan sumpah taat sedia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan.
Katanyanya, Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa mempertahankan kemuliaan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja mengikut lunas-lunas Perlembagaan yang ada.
“Berbeza dengan kerajaan Madani, titah Agong pun selepas setahun dipersoalkan tidak timbul-timbul sehinggakan mahkamah yang mengatakan wujud Titah Adendum.
“Jadi saya nak tanya, kepada rakyat semua nak bertanya sudah beberapa kali diberikan ruang untuk kerajaan menjawab (adakah) ada atau tidak ada titah diraja, ini menjadi persoalan.
“Kami, ahli Parlimen (dan) pembangkang membawa (isu Titah Adendum), semua ini membawa dan mempersoalkan. Macam-macam cara mereka (kerajaan) menjawab ada kata hearsay, tidak tahu serta ada yang berdolak dalih,” katanya.-UTUSAN