KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wany Hasrita mengakui terkesan dengan isu penderaan anak membabitkan pengasuh yang tular di media sosial.
Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita tidak menafikan ada masanya timbul kekhuatiran dalam fikiran apabila terpaksa meninggalkan anaknya dibawah jagaan pengasuh di rumah.
“Memang perkara itu sedikit sebanyak mengganggu fikiran apabila saya serahkan anak kepada pengasuh untuk pergi bekerja. Tapi saya bersyukur kerana ibu saya bantu memantau di rumah.
“Dan saya juga lega kerana setakat ini pengasuh yang dilantik boleh dipercayai. Bukan mudah untuk dapat pengasuh yang betul-betul meyakinkan.
“Apa pun, saya simpati kepada pasangan suami isteri yang anak-anak mereka didera pengasuh. Kita tak tahu apa yang mereka hadapi, mungkin pada awalnya mereka terpaksa hantar anak-anak ke pusat jagaan untuk membolehkan mereka bekerja dan mencari pendapatan bagi menyara keluarga.
“Apa yang berlaku mungkin dugaan buat mereka,” katanya selepas sidang media Puasa! Raya! RTM 2025.
Wany disoal tentang isu penderaan kanak-kanak yang semakin rancak dilaporkan di media sosial dan akhbar kebelakangan ini.
Kata Wany lagi, berdasarkan pengalamannya, bukan mudah untuk mendapatkan pembantu rumah dan pengasuh yang boleh dipercayai memandangkan mereka adalah orang asing dan bukan dalam kalangan keluarga.
“Sebelum ini beberapa kali saya bertukar pembantu kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu memenuhi tuntutan majikan. Contoh, ada pembantu yang tak boleh basuh baju kerana masalah kulit dan sebagainya.
“Mereka juga manusia, jadi saya faham keadaaan mereka. Sekarang saya bersyukur dapat pembantu yang serasi.
“Sebagai majikan, saya permudahkan apa yang boleh untuk pembantu saya. Kalau dia tertekan dengan tugasan, saya bagi masa untuk dia berehat.
“Saya juga masih belajar dan sentiasa berdoa aga didatangkan orang-orang yang baik untuk bekerja dengan saya,” jelasnya.