‘Bukan membazir atau show off ‘ - Utusan Malaysia

‘Bukan membazir atau show off ‘

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beriya-iya menzahirkan sebuah persembahan dengan kesanggupannya mengeluarkan belanja besar biarpun mungkin ada antaranya tidaklah secara total dari duit poketnya sendiri, Aina Abdul begitu mustahil mampu mengelak daripada menjadi bahan cakap-cakap orang.

Ia terutama apabila dia terpilih untuk bertanding di pentas-pentas besar yang menyaksikannya tidak pernah gagal dalam membawakan sebuah persembahan yang sentiasa melekat di hati penonton dan peminat.

Buat golongan pembenci, ‘kegilaan’ itu mungkin menjadi bahan cebikan dan sindiran orang. Tetapi bagi mereka yang mengenal dan memahami apa itu sebuah seni persembahan pentas, apa yang dilakukan Aina itulah yang dipanggil seni.

Perkara itu turut diakui sebilangan guru seni persembahan yang rata-ratanya memuji usaha Aina yang disifatkan tidak pernah ‘malas’ dalam menghasilkan persembahan yang punyai mutu dan kualiti.

Justeru apabila disampaikan kata pujian itu kepadanya, Aina mengakui amat terharu kerana baginya, kata-kata positif itu sangat bermakna buat anak seni yang bertungkus-lumus kreatif berkarya sepertinya.

“Saya hargai sangat semua komen-komen yang baik. Saya sebenarnya tidak sempat berterima kasih kepada setiap daripada mereka yang menyokong. Saya benar-benar gembira kerana masih ada golongan yang menghargai karya dan bakat saya ini.

“Itu sudah cukup. Kepada insan-insan itu, terima kasih kerana anda nampak saya punya niat dalam melakukan sesuatu. Ketahuilah bahawa saya tidak akan berhenti melakukan apa yang saya suka.

“Setiap kali saya adakan persembahan besar atau apa sahaja persembahan yang hendak diketengahkan, saya memang akan buat sehabis baik,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, kata penyanyi yang popular dengan lagu Puas Sudah dan Jangan Mati Rasa Itu ini lagi, apa yang dilakukannya di pentas sering datangnya daripada hati yang penuh dan ala kadar bukanlah pilihannya.

“Tetapi ia tidak juga dilakukan kerana saya ingin menunjuk-nunjuk. Bagi saya, apa yang dipersembahkan itulah apa yang seorang penghibur sepatutnya lakukan.

“Saya belajar daripada orang dulu-dulu, contohnya seperti Allahyarham Sudirman. Saya tengok cara orang-orang lama berkarya di pentas, sama juga seperti penghibur hebat, Anita Sarawak.

“Saya nak jadi macam mereka. Bukan membazir, bukan ‘show off’. Itulah cara saya mengekspresikan jiwa dan raga terhadap seni dan karya,”ujarnya.

Ada sedikit merajuk

Menyingkap perasaannya yang tidak sudah-sudah dihujani dengan kata kecaman dan kritikan, Aina pada hakikatnya sedang cuba perlahan-lahan mendidik diri supaya tidak mudah larut dengan emosi amarah yang tidak berpenghujung.

Baginya, tiada guna membiarkan diri membaca segala tulisan-tulisan negatif yang pada akhirnya tidak mendatangkan manfaat buat dirinya.

Lebih penting, itu adalah caranya untuk menjaga kestabilan dan kesihatan mentalnya supaya fokusnya pada kerja-kerja hakiki tidak tergelincir dari landasan asal.

“Terus-terang, saya memang tidak keluar rumah selepas selesai tugas di pentas besar baru-baru ini. Bukan kerana saya lemah dengan segala kata negatif orang, tetapi saya memang mahu luangkan masa dengan kucing-kucing saya di rumah.

“Itu lagi penting daripada saya nak baca semua komen di media sosial. Tentulah akan ada sahaja yang sampaikan pada saya meskipun diri ini cuba mengelak. Namun, saya sedar setiap orang punya hak kebebasan untuk bercakap.

“Tetapi kalau boleh saya tak mahu larut dengannya sebab ada kerja yang perlu dilakukan, banyak! Kalau saya beri masa lebih lama untuk melayan benda-benda itu, jiwa dan mental saya akan terganggu.

“Saya takut akan merajuk sampai bila-bila,”katanya meninggalkan tanda tanya.

Mengajaknya mengulas lanjut berhubung perkara itu, penyanyi kelahiran Johor Bharu ini mengakui benar ada rajuk di hati namun ia tidak berlebihan.

“Ada sedikit merajuk tetapi tidaklah keterlaluan. Merajuk itu sudah tentu kerana saya ini manusia biasa. Kita akan rasa segala apa yang dilakukan di pentas besar selama ini seolah-olah masih belum cukup diklasifikasikan sebagai persembahan yang berkualiti.

“Saya rasa permainan di pentas besar yang ada seolah-olah mereka masih tidak melihat pada kualiti. Ini pendapat peribadi, saya tidak bercakap bagi pihak orang lain.

“Sedikit kecil hati tentang bagaimana warganet ‘mengkritik’ saya begini. Sedangkan saya cuma ada satu matlamat sahaja iaitu jujur dalam berkarya. Itu yang saya potretkan, bukan menunjuk-nunjuk,”katanya.

Pun begitu, kata Aina, satu perkara yang sentiasa tersemat di mindanya adalah tentang bagaimana dia perlu menghargai peminat dan para penyokong yang tidak pernah lelah berdiri di belakangnya.

“Peminat-peminat sangat menghargai apa yang saya lakukan. Jadi saya tetap akan lakukan untuk mereka. Ya, mungkin selepas ini akan ada orang yang membenci lagi saya kerana kata-kata ini.

“Tetapi saya akan tetap teruskan dengan jalan yang dipilih ini,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya