KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan dari negeri ini mencipta sejarah dinobatkan sebagai juara dunia dalam Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63, baru-baru ini.
Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim yang berusia tujuh tahun menyertai pertandingan itu secara dalam talian pada 23 Januari lalu.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Global Arts, Sports and Culture Association (GASCA) yang berpangkalan di Hong Kong, China bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak dari seluruh dunia.
Ibu kepada Amatullah Hamidah, Hasmah Darwis berkata, antara faktor kejayaan anaknya itu adalah amalan membaca dan menghafal al-Quran.
“Sekarang, dia belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Furqan, Chendering dan hafazan al-Quran banyak membantu menguatkan daya ingatannya. Sejak dia kecil, saya dan suami, sentiasa mengalunkan bacaan al-Quran dan zikir agar Amatullah Hamidah membesar sebagai anak yang cergas dan pintar.
“Alhamdulillah, kemenangannya baru-baru ini antaranya adalah disebabkan keberkesanan hafazan kitab suci dan latihan yang dibuat sebelum pertandingan berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Hasmah, dia dan suami mengehadkan penggunaan telefon dan gajet untuk memastikan anak mereka tidak leka serta mengganggu fokus untuk latihan pidato.
“Kami selalu membawa anak-anak ke majlis ilmu seperti ceramah agama dan taman permainan atau destinasi percutian menarik jika ada waktu lapang. Semoga kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak yang lain untuk mencipta lebih banyak kejayaan berdasarkan minat masing-masing,” katanya. – UTUSAN