GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjualan makanan ringan berbahaya kepada kanak-kanak ketika ini termasuk gula-gula ‘gummy’.
Gesaan itu dibuat susulan insiden seorang kanak-kanak, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10 tahun, yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula tersebut yang dibelinya di luar kawasan sekolah pada waktu petang.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, pihak berkuasa juga perlu menghentikan sikap ‘lepas tangan’ dalam menangani isu makanan ringan yang membahayakan kesihatan kanak-kanak.
“Kanak-kanak tidak tahu mengenai kualiti dan kandungan makanan yang mereka beli. Mereka tertarik dengan warna dan rasa manis sahaja. Oleh itu, perlu ada undang-undang ketat terhadap makanan yang dijual kepada kanak-kanak,” katanya di sini, hari ini.
Subbarow berkata, CAP turut mencadangkan agar semua makanan ringan yang dijual kepada kanak-kanak diwajibkan memiliki logo kelulusan daripada KKM bagi memastikan keselamatan pengguna.
“Berdasarkan tinjauan CAP, terdapat lebih 200 jenis makanan ringan di pasaran yang mengandungi kandungan gula tinggi serta pewarna yang tidak sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.
Tambah Subbarow, CAP juga mendesak pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang menjual makanan ringan secara bebas di luar kawasan sekolah.
“Pada masa yang sama, ibu bapa turut dinasihatkan supaya membekalkan makanan yang sihat kepada anak-anak masing-masing,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa dilaporkan mengalami kesukaran bernafas selepas tersedak ketika mengunyah gula-gula tersebut dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi.-UTUSAN