DUNGUN: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di beberapa bahagian badan akibat diserang seekor kera berhampiran rumahnya di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Muhammad Ammar Hakim Sanusi, 10, cedera di lengan, punggung dan belakang badan akibat digigit serta dicakar haiwan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ketika kejadian mangsa baru sahaja keluar dari rumahnya untuk mengaji al-Quran di kampung itu.
“Difahamkan, ketika dia baru sahaja keluar dari rumah dan berlari-lari untuk pergi mengaji, tiba-tiba seekor kera yang bersaiz besar menerkam mangsa dari arah belakang berhampiran rumahnya.
“Mangsa yang meronta-ronta dan menjerit kesakitan, cuba melepaskan gigitan serta melarikan diri, namun kera itu terus mengejar dan menyerangnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ghazali berkata, ibu mangsa yang menyedari anaknya diserang kera kemudian berlari mendapatkan anaknya dan menghalau haiwan liar itu.
“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan AMBS dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya.
Ghazali berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengesan kera tersebut. – UTUSAN