KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Alyph, berpendapat pengkarya tidak sepatutnya meletakkan viral sebagai matlamat utama menghasilkan lagu.
Alyph atau nama sebenar, Muhammad Alif Abdullah, 33, merasakan pendengar sudah cukup matang menilai sebuah karya dan terpulang kepada mereka untuk menjadikannya tular atau sebaliknya.
“Sebagai seorang artis, viral bukan kuasa kita tapi di tangan pendengar. Terpulang kepada mereka untuk menerima kandungan lagu itu.
“Saya tiada formula khusus walaupun beberapa lagu saya pernah tular seperti Swipe atau Dari Jauh. Lagu itu saya buat kerana minat hasilkan lagu berentak begitu.
“Kalau hajat pengkarya untuk buat lagu demi viral, bagi saya ia sudah menipu pendengar.
“Bayangkan mereka sudah penat bekerja tiap hari tapi kita para pemuzik hanya mahu ambil jalan senang sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di TRX Mall, baru-baru ini.
Bagaimanapun, itu tidaklah bermakna Alyph memusuhi karya yang pernah tular cuma pengkarya perlu berhati-hati agar muzik yang dihasilkan tidak menyimpang dari niat tulus daripada hati.
“Tapi saya tidak menafikan jika lagu itu tular, ia adalah perkara baik. Cuma ia bukan sesuatu perkara yang saya fikirkan semasa rakaman.
“Sebagai pemuzik, matlamat saya adalah untuk selalu cabar diri, berkembang dan memberikan sesuatu kepada industri muzik
“Dunia ini selalu berkembang, jika kita takut berubah dan cepat selesa, kita akan rasa kehilangan sesuatu 10 tahun akan datang,” jelasnya.
Baru melancarkan album terbaharunya The Storm awal bulan lalu, Alyph mendedahkan dia bertungkus lumus menghasilkan sesuatu karya bahkan ketika orang ramai sedang bercuti.
“Tugas sebagai pemuzik hari-hari kena ada motivasi dan keluar untuk hidup. Saya masuk studio dan bekerja termasuklah pada hari yang orang cuti.
“Industri kita ada banyak potensi yang besar. Penggemar muzik Malaysia pun menjangkakan artis dan penerbit dapat tunjukkan lebih daripada kebolehan mereka hari ini,” tambahnya.
Terdahulu, lagu Swipe nyanyian Alyph berjaya memperoleh lebih 13 juta pendengar di aplikasi penstriman muzik setelah tular hingga ke Indonesia.
Lagu Swipe telah memadamkan rekod peribadinya dengan lagu Sang Saka Biru yang memperoleh 10 juta pendengar sebelum ini. -UTUSAN