KEMAMAN: Tempoh tahanan reman ke atas seorang bomoh muda yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di daerah ini, disambung enam hari lagi hingga Jumaat ini.
Perintah sambungan reman terhadap lelaki berusia 20 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddindi Mahkamah Sesyen, hari ini.
Terdahulu, lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14 (d) akta sama.
Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu ditahan polis di Kerteh, kira-kira pukul 10.20 malam pada Sabtu lepas selepas ibu bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes rogol itu disyaki melakukan perbuatan terkutuk itu ketika merawat mangsa yang dipercayai terkena sihir, kira-kira pukul 1 pagi, pada 31 Januari lalu di kediaman mangsa. – UTUSAN