KEMAMAN: Satu objek menyerupai sebutir bom tangan yang masih aktif ditemukan orang awam di tepi Pantai Tampin, Kemasik, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, penemuan bahan letupan itu dilaporkan orang awam kepada Balai Polis Ayer Jerneh, di sini, kira-kira pukul 12.31 malam.
“Anggota polis pasukan Unit Pemusnah Bomba Ibu pejabat Polis Daerah Kemaman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati objek itu merupakan ‘Unexplode Explosive Ordnance’ (UXO), bom tangan yang masih aktif,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mohd. Razi berkata, bom tangan itu kemudian dimusnahkan kira-kira pukul 11.12 pagi ini tanpa sebarang kerosakan harta benda awam mahupun kehilangan nyawa,” katanya.
Ahad lalu, sebutir bom tangan ditemukan di kawasan susur keluar Plaza Tol Bukit Besi di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Dungun. – UTUSAN