BN tak ambil mudah PRK DUN Ayer Kuning - Utusan Malaysia

BN tak ambil mudah PRK DUN Ayer Kuning

SAARANI Mohamad mendengar aduan rakyat pada program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak tidak pandang mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning meskipun di atas kertas dilihat berpeluang cerah menang dan mengekalkan kerusi tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BN masih perlu bekerja keras untuk mengekalkan sokongan pengundi termasuk pengundi yang baru berdaftar.

Beliau turut melihat formula kerjasama Kerajaan Perpaduan antara parti BN dan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan dengan meletakkan calon daripada BN selaku penyandang kerusi DUN Ayer Kuning.

Beliau menjangkakan saingan PRK kali ini adalah dua penjuru dengan melihat gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai saingan.

“Atas kertas ia sepatutnya memberi kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan. Jika mengambil kira undi terdahulu BN terima 9,000 lebih manakala PH 6,000 lebih, ia boleh memberi kemenangan.

“Namun tidak boleh ambil mudah. Manusia ini berubah dan dinamik. Usaha masih perlu diteruskan,” katanya selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

PRK bakal diadakan susulan Ahli DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, PN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Saarani turut menyambut baik sokongan daripada komponen PH yang memberi reaksi positif dalam mengekalkan keharmonian Kerajaan Perpaduan termasuk memberi jalan kepada BN untuk meletakkan calon.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, partinya akan memberi laluan kepada BN untuk meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Ayer Kuning yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Kata Saarani lagi, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dijangka memaklumkan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning kepada SPR pada Selasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya