TEMERLOH: Barisan Nasional (BN) Pahang menyasarkan kembali memperoleh penguasaan majoriti dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semangat antara komponen yang masih kental dalam perjuangan dapat membantu parti kembali bangkit pada pilihan raya umum itu.
Katanya, selain semangat kental, hubungan yang baik terus terjalin antara BN dan parti komponennya iaitu MCA dan MIC.
“Dari semasa ke semasa, BN Pahang bersama parti komponennya membincangkan strategi dan hala tuju untuk terus mengekalkan pemerintahan dan kembali menawan Pahang pada pilihan raya akan datang.
“Saya tengok semangat BN masih kental dan insya-Allah kita harap, kita akan bangkit semula seperti sebelum-sebelum ini, iaitu sebelum 2018,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran MCA Pahang di sini.
Ditanya tentang kontroversi membabitkan MCA, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia tidak menjejaskan hubungan baik antara BN dan parti komponennya itu.
“Tidak (terjejas), malah ada wakil seorang (MCA) dalam Dewan Negeri, ADUN (ahli dewan undangan negeri) lantikan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, MCA kekal sebagai rakan akrab UMNO dulu, kini dan selamanya serta menyokong BN kekal mentadbir Pahang dengan majoriti lebih dua pertiga pada PRU16.
“Pahang muncul negeri elit berpendapatan lebih RM1 bilion tiga tahun berturut-turut di bawah Wan Rosdy, berada di landasan tepat dan indikator sokongan padu semua kaum Cina, Melayu India, orang asli dan lain-lain kaum,” katanya. – UTUSAN