NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk terus menangani isu sekolah padat khususnya di kawasan bandar ketika ini dengan pembinaan sekolah-sekolah baharu hampir setiap tahun.
Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 44 buah sekolah baharu dijangka dibina berdasarkan belanjawan yang diluluskan sebelum ini iaitu pertambahan sebanyak 18 sekolah berbanding 26 buah sekolah baharu sepanjang tahun lepas.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang akan masalah sekolah atau kelas yang padat kerana KPM bersedia memberi jaminan bahawa perkara itu sedang diatasi.
“Dalam hal ini, kita mahu memastikan bahawa anak-anak kita dapat belajar dalam persekitaran sekolah yang kondusif (dan selesa).
“Pada masa sama, kita juga memohon kerjasama daripada ibu bapa (untuk memahami isu ini). Namun, berdasarkan kepada unjuran-unjuran yang telah pun kita buat dari semasa ke semasa, memang kita ambil perhatian penuh dan (isu sekolah padat) memang dalam tindakan kita,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap, yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar.
Terdahulu, isu sekolah padat hingga menyebabkan pengurusan sekolah terpaksa menempatkan lebih 40 murid dalam satu-satu kelas kembali diperkatakan sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa yang melihat keadaan itu memberi kesan terhadap pembelajaran anak-anak mereka.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut memberi jaminan bahawa isu-isu sekolah padat masa masa hadapan akan ditangani secara lebih efektif dengan penglibatan semua pihak.
Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina berkata, kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di seluruh negara akan mengikuti sesi persekolahan seperti pelajar lain bermula 17 Februari ini.
Katanya, kanak-kanak itu sebelum ini telah mengikuti kelas-kelas khas yang dikendalikan oleh KPM sepenuhnya iaitu di tempat-tempat perlindungan yang ditetapkan oleh tenaga pengajar tertentu.
“Sebenarnya, kita masih lagi mengumpulkan data yang berkenaan (jumlah keseluruhan kanak-kanak GISBH yang kembali bersekolah) memandangkan pada sesi yang lepas, kita terpaksa hentikan sementara (kelas khas) untuk mereka kerana kes-kes mahkamah (berkaitan GISBH).
“Jadi, apabila sahaja selesai proses mahkamah itu semua, saya ingat mereka tak ada masalah untuk kembali ke sekolah seperti biasa,” kata beliau.-UTUSAN