Bila kemelayuan ‘ditikam’ kemodenan - Utusan Malaysia

Bila kemelayuan ‘ditikam’ kemodenan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Poklip ada menghadiri sebuah majlis pelancaran produk baharu. Memang bangga sebab itu adalah syarikat anak Melayu yang bakal membuka cawangannya di Jakarta dan London, tidak lama lagi. 

Hebat bukan? Tetapi bukan itu yang Poklip mahu bahaskan. Ketika majlis pelancaran berlangsung, persembahan iringannya adalah zapin. 

Ya, zapin Melayu. Namun malangnya, bukan lagu zapin Melayu sebagai latar. Entah di mana letaknya ‘fikiran’ insan di belakang persembahan itu, lagu Garam dan Madu yang kini cukup popular dalam kalangan pengguna media sosial menjadi pilihan. 

Adakah anda sedar maksud lagu itu? Baik, bukan Poklip hendak menguji minda dan membedah lirik. Tetapi dalam ribuan lagu zapin yang ada, mengapa lagu itu juga yang dipilih? 

Ditambah elemen zapin? Tidak ada masalah tetapi bila dengar lirik ‘Ku bayangkan tubuhmu jika di pelukanku’ apa maksudnya? Poklip tidak dapat menghalang lagu ini dimain di mana-mana, malah popularitinya cukup mendunia. Setidaknya di Malaysia. 

Tetapi mengapa, sekali lagi mengapa lagu dengan lirik sebegitu dijadikan latar. Mungkin bagi segelintir anda, ala benda kecil sahaja. 

Tetapi bukankah muzik, seni dan budaya mempengaruhi dalam skala besar sosio kehidupan kita? Tidakkah kita khuatir bagaimana impaknya terhadap generasi akan datang? 

Lirik adalah mainan kata yang diucapkan hari-hari. Begitulah pentingnya lirik sebuah lagu. Poklip sebenarnya cukup merindukan bait-bait lirik puitis yang penuh makna. Kata yang disulam indah dengan makna tersirat. 

Tetapi sayang, lirik sekarang boleh dikatakan sudah hilang ‘jiwa’ nya. Semua main tarah, asal sedap dinyanyikan. Belum cerita tentang perkataan Melayu yang di-inggeriskan. 

Makin lama makin pelik. Di mana pergi kosa kata, peribahasa dan tatabahasa yang dahulunya kita sanjung? Di mana perginya susunan aksara membetuk kata lantas dicantum menjadi ayat yang bila didengar, hati larut dalam perasaan.

Tetapi Poklip harus berterima kasih kepada artis, komposer dan penulis lirik muda seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Hael Hussaini dan terbaharu, Naim Daniel. 

Mereka antara pejuang seni yang tidak lelah memperjuangkan lirik ada jiwa. Poklip juga rindu dengan lagu-lagu tradisional penuh kemelayuan. 

Ada beberapa artis muda yang berani mempertaruhkan lagu-lagu etnik komtemporari seperti Aisha Retno, Wany Hasrita dan beberapa lagi.  

Tetapi jika mahu mencari mahakarya seperti Allahyarham Pak Ngah, Allahyarham S. Atan, Noraniza Idris dan komposer emas lain, sudah hilang bunyinya. 

Semua seperti terlalu dimodenkan. Namun setidaknya, masih ada insan hebat yang memperjuangkan lagu-lagu kemelayuan tanpa dicemari dengan elemen kemodenan. 

Noraniza Idris antaranya yang sehingga kini layak bergelar ratu etnik. Malah, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga dalam perangkaan untuk mengadakan konsert tradisional terbesar yang pernah dianjurkan. 

Konsert tersebut dijangka berlangsung selepas April kelak. Sebenarnya, adakah lagu-lagu tradisional sukar untuk mendapat tempat di hati peminat? Jika itu adalah jawapannya, mengapa Nirmala,  Hatinya Tak Tahan, Balqis, Badarsila dan Ya Maulai masih mendunia? 

Jika itu juga adalah jawapanya, mengapa dua album Belagu oleh Dayang Nurfaizah menjadi antara album paling berjaya ketika dilancarkan? 

Poklip sangat berharap, satu hari nanti ada komposer, penulis lirik dan artis muda yang berani ‘mencabar’ persepsi lagu-lagu tradisional kemelayuan sukar memecah tembok pasaran muzik tempatan. Kita tunggu dan lihat, siapa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya